Masalah air di Selangor tidak seteruk Kelantan, Kedah
'Inilah mentaliti pemimpin PN bila suruh rakyat gali air sendiri'

KLANG, 24 Muharam 1445H, Jumaat – Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad memberi jaminan kepada pengundi Selangor bahawa mereka tidak akan menghadapi isu air seperti di negeri pimpinan pembangkang.
Beliau menyebut Kelantan dan Kedah sebagai negeri yang mempunyai isu air di bawah kepimpinan Perikatan Nasional (PN).
Katanya, Selangor yang diterajui Pakatan Harapan (PH) sejak 2008 telah melalui pelbagai perkembangan.
“Kita tahu air adalah isu utama di Kelantan. (Tetapi) awal hari ini kita dengar Timbalan Menteri Besar (penjaga), Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata sebaliknya.
“Dia kata tak ada masalah. Rakyat Kelantan boleh gali air sendiri (perigi). Itulah mentaliti pemimpin dalam Perikatan Nasional,” katanya ketika berucap pada Ceramah Kempen Grand Finale Perpaduan Kota Raja di Bandar Puteri Klang, Selangor.
Nazmi berkata, kerajaan sedang dalam proses mengatasi isu rizab air yang kecil dalam memudahkan permintaan yang besar.
“Ya, mungkin ada batasan tertentu, tetapi ia tidak seberat isu asas yang dihadapi Kelantan,” katanya.
Terdahulu, Mohd Amar memaklumkan isu air dihadapi rakyat negeri Kelantan terutama di kawasan kampung bukannya satu masalah besar untuk PAS terus menerajui kerajaan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, ini berikutan di kampung mereka mempunyai pilihan apabila boleh membina air telaga tiub atau perigi.
“Orang kampung sendiri dia faham dan kadang-kadang kes itu (air) dia selesai sendiri. Contoh kalau tidak ada air kerajaan, dia bina telaga tiub, gali perigi.
“Dia (masyarakat) cari penyelesaian sendiri. Sebab itu bagi di kampung ini bukan perkara besar, bukan isu yang besar (masalah air),” katanya.