Selangor cuti peristiwa jika PH-BN menang PRN
Rakyat bakal tentukan masa depan negeri untuk 5 tahun akan datang

BANGI, 24 Muharam 1445H, Jumaat – 14 Ogos (Isnin) akan diisytiharkan cuti peristiwa di Selangor sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN), esok.
Menteri Besar sementara Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pilihan raya esok adalah tarikh penting dalam sejarah negeri.
Beliau berkata, rakyat bakal menentukan masa hadapan negeri Selangor untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Saya ingin mengumumkan bahawa sekiranya Gabungan Perpaduan yang terdiri daripada PH dan BN berjaya memenangi PRN Selangor pada 12 Ogos ini dan membentuk kerajaan negeri Selangor.
“Kita bersetuju untuk isytiharkan cuti peristiwa buat seluruh rakyat negeri Selangor pada Isnin depan,” katanya ketika menyampaikan amanat khas Menteri Besar Selangor, sebentar tadi.
Terdahulu, seramai 138 individu di Selangor telah diumumkan oleh parti politik masing-masing bakal berentap untuk merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertanding.
Pakatan Harapan (PH) – yang menerajui pentadbiran kerajaan negeri sejak 2008 – menyenaraikan 44 calon yang membabitkan PKR (20), DAP (15) dan AMANAH (sembilan).
Barisan Nasional (BN) – yang membentuk kerjasama dengan PH – turut menamakan 12 calon, sekali gus memberi lebih peluang kepada PH mengekalkan penguasaan khususnya di kawasan majoriti pengundi Melayu.
Perikatan Nasional (PN), yang terdiri daripada tiga parti komponen besar iaitu Bersatu, PAS dan Gerakan, juga telah mengumumkan calon untuk bertanding di semua DUN dengan 31 kerusi didominasi Bersatu, manakala PAS dan Gerakan masing-masing 17 serta lapan kerusi.