Berita Utama

Teladani kepimpinan Saidina Umar bela kebajikan rakyat: Khutbah

Pemimpin jangan penting diri hingga rakyat tak dapat hak sepatutnya

BANGI, 24 Muharam 1445H, Jumaat – Pemimpin wajib memastikan kebajikan rakyat terus terbela dan mendapatkan hak masing-masing, menurut khutbah Jumaat.

Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan, kebajikan dimaksudkan adalah merangkumi pendidikan, sumber makan yang cukup dan baik, kesihatan, perubatan, peluang pekerjaan, keselamatan serta kemudahan awam.

Menurut khutbah, pemimpin tidak boleh mementingkan diri sendiri sehingga mengabaikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

“Teladan telah ditunjukkan oleh para sahabat yang mulia, antaranya Saidina Umar al-Khattab ketika menjadi khalifah, beliau sendiri turun padang untuk mendengar keluhan dan menyelami keadaan yang dialami oleh rakyatnya dan beliau terus bertindak menyelesaikan setiap masalah yang didapati.

“Pemimpin tidak boleh mengutamakan kantung sendiri sedangkan rakyat hidup menderita tidak mendapatkan hak-hak masing-masing yang sepatutnya diuruskan oleh pemimpin yang dilantik,” katanya.

Selain itu, elemen penting yang menjadi asas kepada kestabilan dan kesejahteraan negara dan perlu diberi penekanan dan keutamaan adalah agihan ekonomi yang adil bagi mengurangkan jurang antara orang miskin dan kaya.

Khutbah berkata, hasil negara mestilah dibahagikan secara adil kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang dan pilih kasih.

“Selain itu, sikap toleransi dan matang dalam menghadapi perbezaan dan kepelbagaian.

“Allah SWT menciptakan manusia dengan kepelbagaiannya supaya kita saling berkenalan dan melengkapi antara satu sama lain. Setiap masyarakat hendaklah bersikap matang dalam menguruskan perbezaan.

“Perbezaan yang ada bukan untuk dipertikai, dihina atau direndah-rendahkan kerana hakikat kemuliaan seseorang itu tetap bergantung kepada takwanya kepada Allah SWT,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button