PH wajar serah kerusi MB Negeri Sembilan pada UMNO
Tewas lima negeri, ahli-ahli UMNO tentu kecewa

BANGI, 26 Muharam 1445H, Ahad – Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mencadangkan supaya Pakatan Harapan (PH) menyerahkan jawatan Menteri Besar negeri tu kepada Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Beliau berkata, Pengerusi UMNO Negeri itu wajar diangkat sebagai Menteri Besar atas dasar kejayaan memperolehi kerusi terbanyak di negeri tersebut.
Langkah menyerahkan jawatan Menteri Besar kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang itu juga menepati semangat perpaduan yang dicanangkan.
“UMNO tewas teruk di kesemua lima negeri yang lain. Ahli-ahli UMNO tentu berasa kecewa.
“Jangan pula ahli UMNO dan para penyokongnya dikecewakan sekali lagi. Undi UMNO dapat PKR dan DAP.
“Saya ucapkan tahniah kepada Datuk Jalaluddin dan semoga beliau terpilih sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Keputusan rasmi pilihan raya negeri (PRN) di Negeri Sembilan menyaksikan PH-BN meraih 31 kerusi manakala PN memenangi lima kerusi.
UMNO memenangi 14 kerusi, DAP 11 kerusi dan PKR pula mendapat lima kerusi manakala Amanah memperoleh satu kerusi.