UMNO hadapi ujian berat, hilang sokongan orang Melayu
Perlu berani berubah tampilkan 'ayam sabung' tulen, jawatan parti bukan tiket percuma jadi calon

BANGI, 26 Muharam 1445H, Ahad – UMNO perlu mencari formula baharu susulan prestasi buruk parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, semalam.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengakui parti itu perlu mencari naratif baharu supaya rakyat tidak meluat dengan tingkah laku UMNO dan ‘sampai’ kepada pengundi.
“Sekali lagi UMNO berhadapan ujian berat. Menang 19 sahaja daripada 108 kerusi yang ditandingi.
“UMNO semakin hilang sokongan orang Melayu. Bukan mudah untuk UMNO mencari formula baharu,” katanya dalam catatan Facebook, hari ini.
Beliau turut menasihati UMNO supaya jangan panik termasuk membuat keputusan meninggalkan Kerajaan Madani sebaliknya terus mencari jalan dan memberi tumpuan kepada ekonomi rakyat dan negara.
Beliau menegaskan, UMNO perlu berani berubah dengan menampilkan ‘ayam sabung’ tulen dan bukan lagi meletakkan jawatan parti sebagai ‘tiket’ menjadi calon.
“Mereka yang kalah dan berumur 45 tahun ke atas jangan bertanding lagi di pilihan raya akan datang.
“Jawatan parti bukan tiket percuma jadi calon. Tampilkan ayam sabung tulen,” katanya.
Tambahnya, UMNO mesti membuat perubahan sebelum rakyat meluat dengan tingkah laku parti tersebut.
“Menteri UMNO mesti ‘deliver’. Elak rakyat meluat pada tingkah laku UMNO. Parti perlu naratif baru yang sampai kepada pengundi,” katanya.
Semalam pada PRN di enam negeri, BN hanya memenangi 19 kerusi daripada 108 DUN yang dipertandingkan.
Di Kedah dan Terengganu, UMNO gagal memperoleh satu kerusi pun.
Di Selangor dan Pulau Pinang, BN hanya menang dua kerusi dan di Kelantan satu kerusi sahaja dimenangi.
BN hanya memperolehi kerusi di Negeri Sembilan apabila menang 14 kerusi dari 17 yang dipertaruhkan.