ADUN Temangan, ADUN Meranti ada ciri kepimpinan teraju Kelantan
Calon MB mesti sedia kerjasama dengan Kerajaan Pusat demi rakyat

BANGI, 27 Muharam 1445H, Isnin – Penganalisis politik melihat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan, Dr Mohamed Fadzli Hassan dan ADUN Meranti, Datuk Mohd Nassurudin Daud memiliki ciri kepimpinan progresif dan dinamik sebagai Menteri Besar Kelantan yang baharu.
Penasihat Unit Literasi dan Advokasi Politik, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, calon menteri besar mesti mempunyai ciri-ciri khas seperti mampu memperkenal dan melaksanakan dasar terbaik kepada rakyat di Kelantan.
Atas sebab itu, beliau berpandangan bahawa PAS perlu membuktikan partinya dapat menonjolkan pemimpin progresif dan dinamik sebagai Menteri Besar yang baharu susulan prestasi cemerlang pada Pilihan Raya Negeri (PRN), kelmarin.
Katanya, peneraju negeri itu juga umpama arkitek aspek pembangunan yang dapat memberikan manfaat kepada kesejahteraan rakyat.
“Apa pun, menteri besar mestilah dapat menyantuni rakyat tanpa mengira latar belakang mereka, walaupun PAS menang besar di Kelantan.
“Juga penting, calon menteri besar mestilah mempunyai pemikiran yang bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pusat demi rakyat,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Sebelum ini, PAS mengumumkan Kelantan dijangka mempunyai Menteri Besar atau Timbalan Menteri Besar baharu dengan mencadangkan gabungan agamawan dan teknokrat untuk dua jawatan itu selepas menang PRN.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Menteri Besar adalah individu berpengalaman dan semestinya dipilih daripada salah seorang Exco sebelum ini.
Untuk rekod, Mohamed Fadzli sebelum ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri manakala Mohd Nassuruddin pula adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri.