Usahlah ultra kiasu takutkan rakyat dengan dasar konservatif Melayu
Kaum Cina dan India nikmati banyak kelebihan dari dasar pro-Melayu, Islam

BANGI, 27 Muharam 1445H, Isnin – Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah mengingatkan ultra kiasu supaya jangan cuba untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia dan orang bukan Islam dengan dasar konservatif Melayu.
Beliau menegaskan bahawa semua perkara berkaitan pro-Melayu dan Islam sudah termaktub di dalam Perlembagaan, maka tidak wajar untuk ianya dipertikaikan.
Justeru, bagi Ridhuan Tee, tidak salah sekiranya Kerajaan Madani mahu menjadi lebih konservatif Melayu selepas ini, memandangkan negara adalah Tanah Melayu yang dimiliki orang Melayu dan Bumiputera.
“Takkan dasar-dasar akan menjadi pro-Cina atau pro-India. Mana mungkin, sebab setiap bangsa ada tanah masing-masing. Sebab itu, bangsa Cina membentuk negara China dan bangsa India membentuk negara India.
“Dasar negara-negara ini semuanya menjadi konservatif Cina dan India. Begitu juga di negara-negara kulit putih yang lain. Kenapa kamu tidak pertikaikan?,” katanya dalam tulisan di Ismaweb.net, hari ini.
Tulisan Ridhuan Tee itu sebagai membidas pandangan seorang penganalisis politik yang mendakwa kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berkemungkinan menjadi lebih konservatif dalam usaha meningkatkan sokongan Melayu.
Felo Kanan Singapore Institute of International Affairs, Oh Ei Sun dilaporkan berkata, gabungan PH-BN tiada pilihan selain berbuat demikian demi mencapai perkara itu.
“Keputusan PRN menunjukkan majoriti orang Melayu, atau Melayu arus perdana, lebih cenderung kepada hala tuju sosiopolitik yang lebih konservatif dan berpandukan keagamaan di negara ini.
“PAS memenuhi keadaan ini dan menang banyak kerusi,” kata Ei Sun.
Mengulas lanjut, Ridhuan Tee berkata, walaupun Perlembagaan jelas memaktubkan hak konservatif Melayu, kaum seperti Cina dan India lebih banyak menikmati kelebihan daripada dasar itu.
“Kamulah yang paling kaya, kamu dapat tinggal dengan aman kerana kamu dijaga oleh anggota keselamatan, kamulah yang mendapat hak beribadat paling banyak, dibantu lagi oleh kerajaan.
“Kerajaan bagi lagi kamu sekolah berasaskan kaum (vernakular) kepada kamu. Mana nak dapat semua ini?
“Orang Cina di negara China atau orang India di negara India, tidak mendapat hak-hak seperti ini. Kenapa kamu masih tidak sedar?,” soalnya.
BACA PENUH ULASAN PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH;