Lubnan beku akaun bank bekas Gabenor Bank Pusat, empat sekutunya
Salameh nafi dakwaan tiga negara, tegaskan akan cabar mereka

BEIRUT, 28 Muharam 1445H, Selasa – Lubnan membekukan akaun bank bekas Gabenor Bank Pusat, Riad Salameh, dan empat sekutunya, menurut satu kenyataan Suruhanjaya Siasatan Khas, lapor Reuters.
Lubnan juga telah menarik balik kerahsiaan perbankan mengenai akaun kesemua lima individu, termasuk Salameh, abangnya Raja, anaknya Nady, bekas pembantunya Marianne Hoayek dan Anna Kosakova, yang mempunyai seorang anak perempuan dengan Riad.
Salameh berkhidmat sebagai Gabenor Bank Pusat di Lubnan dari 1993 hingga 31 Julai.
Beliau menghadapi waran tangkap di Perancis dan Jerman berikutan penyiasatan sama ada beliau dan abangnya mengambil $330 juta dana awam daripada Bank Pusat Lubnan semasa menjadi gabenor.
Adik beradiknya dan Hoayek semuanya telah didakwa di Lubnan atas penyelewengan dan jenayah kewangan lain.
Bagaimanapun, adik-beradik Salameh menafikan tuduhan itu. Nady Salameh belum menjawab permintaan Reuters untuk mendapatkan komen. Peguam untuk Hoayek dan Kosakova juga tidak menjawab permintaan Reuters untuk mendapatkan komen.
Salameh, dalam mesej kepada Reuters, menafikan dakwaan yang dibuat tiga negara yang melaksanakan sekatan dan berkata beliau akan mencabar mereka. Beberapa asetnya telah pun dibekukan dalam siasatan sebelum ini, katanya.
Pada Mac 2022, organisasi kerjasama keadilan jenayah Kesatuan Eropah mengumumkan pembekuan kira-kira 120 juta Euro ($130 juta) aset Lubnan di Perancis, Jerman, Luxembourg, Monaco dan Belgium.
Pada Julai, badan kehakiman Perancis memindahkan aset yang dirampas milik Salameh dan sekutunya ke Negara Lubnan.
Menurut undang-undang Lubnan, Suruhanjaya Siasatan Khas diketuai oleh Gabenor Bank Pusat.
Disebabkan tiada pengganti yang dilantik untuk Salameh, Naib Gabenor pertama, Wassim Mansouri, mengetuai institusi itu sebagai pemangku gabenor. Kenyataan hari Isnin ditandatangani Mansouri. – Agensi