MB Terengganu jangan lantik ‘backbencher’ dari kalangan kroni
Kerajaan negeri mampu berfungsi meski tanpa pembangkang

Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 28 Muharram 1445H, Selasa – Pentadbiran kerajaan negeri masih boleh berfungsi seperti biasa meskipun tiada pembangkang yang menjadi semak dan imbang.
Seperti di Terengganu, pertama kali dalam sejarah apabila Perikatan Nasional (PN) menang di kesemua Dewan Undangan Negeri (DUN) – bermakna gabungan itu akan mentadbir sepenuhnya kerajaan negeri.
Bagi penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain, pemerintahan tanpa pembangkang dilihat lebih baik, namun setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mestilah berperanan bagi memastikan urusan pentadbiran lancar.
Beliau berkata, selain ADUN boleh menjadi semak dan imbang sesama sendiri, rakyat serta ahli ‘backbencher’ (penyokong) yang bakal dilantik kerajaan negeri kelak juga perlu memainkan peranan sama.
“Saya rasa (tiada pembangkang) tidak akan memberikan masalah yang besar buat Terengganu. Lebih baik tiada pembangkang berbanding ada, tetapi fungsi dan peranannya tidak membawa kesan apa-apa.
“Kalau menjadi pembangkang membina lainlah. Ini pembangkang yang hanya bangkang tanpa fakta, maka pada saya semua 32 ADUN ini mesti bekerja sebagai satu pasukan yang lebih baik dan membuat semak dan imbang di antara mereka,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Besar sementara Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, negeri itu akan mewujudkan ahli backbencher (penyokong) yang akan berperanan menegur setiap kepincangan serta bertindak sebagai semak dan imbang dalam pentadbiran negeri.
Beliau berkata, keputusan itu akan diambil kerana tiada wakil daripada Barisan Nasional (BN) dipilih sebagai ADUN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung Sabtu lalu.
Mengulas perkara itu, Prof Ahmad Atory menyarankan kepada Menteri Besar yang dilantik hari ini supaya memastikan ahli backbencher yang dipilih bukanlah daripada kalangan kroni.
“Ianya mesti bebas kroni, dan boleh bertindak menegur kerajaan. Tetapi kerajaan negeri juga tidaklah tertakluk pada nasihat itu.
“Pada masa sama, MB mesti pastikan ADUN menjalankan tugas dan menekankan keadilan, kesaksamaan serta ihsan kepada semua rakyat, maka saya rasa tidak perlu adanya pembangkang jika parti pemerintah ada sifat sedemikian,” katanya.
Pada PRN kali ini, PAS merealisasikan sasaran memenangi 32 kerusi DUN dipertandingkan di Terengganu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, PAS memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN, sekali gus mentadbir Terengganu, dengan BN memperoleh 10 kerusi.