Berita Utama

Muhyiddin bebas tuduhan bukti PH-BN sengaja cipta fitnah

Desak AG semak semula pendakwaan terpilih terhadap Bersatu-PN

BANGI, 28 Muharram 1445H, Selasa – Pembangkang hari ini mendesak Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menyemak semula semua pendakwaan terpilih terhadap pimpinan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) bagi tujuan ditarik balik.

Desakan itu disuarakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.

Hamzah berkata, mahkamah bukan sahaja memutuskan bahawa pertuduhan ke atas bekas Perdana Menteri itu sebagai cacat, tidak berasas, kabur dan tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah, tetapi juga kesalahan penggunaan proses mahkamah.

“Kebenaran akhirnya berpihak kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pengerusi Perikatan Nasional.

“Kezaliman serta dendam politik kesumat kerajaan PH-BN yang sengaja mencipta fitnah, mengada-adakan pertuduhan serta menyalahgunakan kuasa bagi mendakwa pemimpin Perikatan Nasional terbukti di mahkamah hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Dengan kezaliman itu, Hamzah yang juga Setiausaha Agung PN berkata, referendum rakyat yang ditunjukkan dalam keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, perlu diterjemahkan dengan menolak kerajaan PH-BN pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kezaliman ini perlu dihentikan dan saya juga telah memulakan tindakan undang-undang bagi menyaman kerajaan Malaysia serta SPRM.

“Saya menyeru kepada rakyat untuk bangkit bersama Perikatan Nasional,” katanya.

Muhyiddin dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan apabila Mahkamah Tinggi dapati ia cacat dan tidak berasas.

Pengerusi PN itu memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu, dan memohon prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat tuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.

Ini berikutan didakwanya tiada mana-mana satu pun daripada tuduhan terbabit mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM.

Berita berkaitan;

Muhyiddin bebas 4 tuduhan rasuah RM232.5 juta

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button