Berita Utama

Kes denggi meningkat 4.7 peratus, dua kematian dilaporkan

2,542 kes direkod awal Ogos berbanding 2,427 minggu sebelumnya

BANGI, 29 Muharram 1445H, Rabu – Jumlah kes demam denggi meningkat 4.7 peratus kepada 2,542 kes pada Minggu Epidemiologi ke-31 (ME31) iaitu bagi tempoh 30 Julai hingga 5 Ogos berbanding 2,427 kes dilaporkan pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan hari ini berkata, dua kematian akibat komplikasi demam denggi turut dilaporkan pada ME31.

Beliau berkata, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME31 meningkat 118.9 peratus kepada 71,193 kes berbanding 32,521 kes bagi tempoh sama pada 2022.

“Manakala sejumlah 49 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 22 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2022,” katanya.

Dr Muhammad Radzi berkata, bilangan lokaliti hotspot kes demam denggi pada ME31 menurun kepada 86 lokaliti berbanding 93 lokaliti pada minggu sebelumnya.

Lokaliti hotspot itu adalah 69 lokaliti di Selangor, tujuh lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, masing-masing tiga lokaliti di Perlis serta Kedah dan dua lagi di Negeri Sembilan serta Sabah.

Mengenai survelan chikugunya, beliau berkata, dua kes direkodkan pada ME31 dan jumlah kumulatif kes sehingga kini adalah 147.

Bagi survelan zika, Dr Muhammad Radzi berkata, sebanyak 1,862 sampel darah dan 129 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

“Cuaca panas berselang-seli dengan hujan merupakan keadaan yang kondusif untuk pembiakan nyamuk Aedes.

“Oleh itu, cara paling efektif untuk mengurangkan populasi nyamuk Aedes di persekitaran adalah secara permusnahan tempat pembiakan serta aktiviti membubuh bahan pembunuh jentik-jentik di dalam takungan air,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button