Berita Utama

Lebih baik baiki prasarana sekolah daif dari buka sekolah pelajar miskin

Perkemas sistem sedia ada supaya tidak berlaku isu keciciran

BANGI, 29 Muharram 1445H, Rabu – Kementerian Pendidikan (KPM) perlu memperhalusi sebaiknya usaha merealisasikan projek rintis sekolah khas bagi pelajar keluarga paling miskin dengan mengambil kira semua aspek termasuk kesan dan akibat.

Biro Kajian dan Penerangan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) Sabah berkata, cadangan untuk membuka sekolah dan sistem baharu ini bukan kali pertama dikemukakan.

Menurutnya, sebelum ini Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki juga ada meneliti cadangan untuk dibuka Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) khusus bagi pelajar dari keluarga berada.

Pun begitu ada beberapa perkara yang boleh dinilai sebelum wujudnya cadangan penubuhan sekolah dan sistem baharu.

“Dengan sekolah dan sistem pelbagai aliran hari ini, apakah ia berjaya melahirkan individu yang seiring dengan falsafah pendidikan negara?

“Bagaimana pula dari aspek perpaduan dan kerjasama dari kalangan pelajar yang lahir dari pelbagai aliran pendidikan dan akan mengisi ruang di dalam masyarakat?

“Apakah bentuk panduan dan bimbingan daripada KPM yang akan diberikan kepada guru dan sekolah dalam menangani pelajar yang datang dari latar belakang yang berbeza?” soalnya.

Berbanding idea untuk membuka sekolah dan sistem baharu, iGuru Sabah bagaimanapun berpendapat adalah lebih baik menggunakan peruntukan bagi menambah baik prasarana sekolah daif dan kebajikan guru.

Katanya, KPM boleh menambah baik sistem sedia ada untuk memastikan tidak berlaku keciciran dan pengabaian bagi pelajar miskin.

Bahkan terdapat banyak penajaan yayasan, pusat zakat, bank dan individu berada yang sentiasa mencari ruang penajaan dan membantu golongan susah.

“Kesedaran pendidikan dan bantuan sara hidup bagi keluarga miskin juga boleh disalurkan untuk meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

“Inisiatif dari pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah juga penting untuk sentiasa memantau dan memberi sokongan supaya tidak berlaku keciciran dalam kalangan pelajar miskin dan susah,” katanya.

Khamis lalu, KPM memaklumkan sedang memperhalusi mekanisme terbaik dalam usaha merealisasikan projek itu yang dijangka dibina awal tahun depan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, mekanisme itu seterusnya mungkin dijadikan model khas dalam pembinaan sekolah untuk golongan pelajar miskin, sekali gus dapat mengatasi isu keciciran.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button