PN jangan ambil mudah kepercayaan pengundi Melayu: ISMA
Anwar harus sedar dasar liberal multiracial ditolak majoriti rakyat

BANGI, 29 Muharram 1445H, Rabu – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengingatkan pimpinan Perikatan Nasional (PN) supaya tidak memandang mudah kepercayaan yang diberikan pengundi Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), baru-baru ini.
Amir ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Ab Rahman berkata, pimpinan PN perlu benar-benar memahami kehendak serta harapan orang Melayu sebagai bangsa yang bermaruah dan berdaulat.
Selaras itu, pimpinan PN juga harus menterjemahkan kepercayaan pengundi Melayu kepada program-program dan dasar yang memenuhi kehendak serta impian mereka.
“ISMA mengucapkan tahniah kepada Perikatan Nasional kerana telah berjaya mengekalkan momentum sokongan pengundi Melayu dengan menakluk 146 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 245 kerusi dalam PRN.
“ISMA juga ingin berpesan kepada pimpinan Perikatan Nasional agar jangan rasa selamat dengan sokongan besar sehingga mengambil tindakan yang membelakangi hasrat pengundi Melayu demi meraih sokongan kaum lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Keputusan PRN di enam negeri pada Sabtu lalu jelas menunjukkan isyarat penolakan rakyat terutama pengundi Melayu yang masih tidak boleh menerima blok gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN).
Isyarat itu jelas diterjemahkan apabila PH hanya menang 80 kerusi, manakala BN-UMNO hanya 19 daripada 245 kerusi DUN berbanding PN yang meraih kemenangan besar dengan 146 kerusi.
Mengulas perkembangan itu, Ustaz Abdullah Zaik berkata, penolakan orang Melayu kepada PH harus difahami dengan jelas bahawa mereka tidak mahu Malaysia menjadi negara liberal multiracial seperti pengalaman Singapura dan Pulau Pinang merebak ke negeri lain.
“Anwar Ibrahim dan PH juga harus sedar bahawa dasar liberal sosialis multiracial mereka ditolak oleh majoriti rakyat Malaysia.
“Mereka perlu faham dan kembali meletakkan kepentingan nasional mengatasi kepentingan puak, taikun dan juga kuasa asing,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut berpesan kepada UMNO untuk menjadikan kekalahannya pada PRN ini sebagai pengajaran keras dan menyifatkan hukuman itu mungkin akan membawa parti berkenaan ke noktah terakhir.
“Jadi, UMNO perlu memilih untuk membuat perubahan drastik atau menerima takdir.
“Kali ini masih ada orang Melayu yang masih mengharapkan UMNO dengan tidak mengundi parti lain atau tidak keluar mengundi, tetapi akan datang mungkin mereka akan mengundi parti lain.
“Syabas buat pengundi Melayu kerana bijak menggunakan kuasa undi,” katanya.