UMNO mungkin jadi macam MCA hilang sokongan, akhirnya terus karam
MP UMNO boleh buat penilaian, kerjasama PH-BN semakin sukar diterima rakyat

BANGI, 29 Muharam 1445H, Rabu – UMNO kini bukan lagi tempat orang Melayu bergantung susulan prestasi buruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu yang hanya memperolehi 19 kerusi daripada 108 yang ditandingi.
Buktinya, gelombang orang Melayu Islam telah beralih dan menyokong PAS serta Perikatan Nasional (PN) – yang sekali gus menampakkan perubahan ‘total’ kepada gabungan berkenaan.
Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, ahli-ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah boleh membuat penilaian berdasarkan keputusan PRN baru-baru ini.
Ini berikutan kerjasama BN-Pakatan Harapan (PH) sukar diterima khususnya orang Melayu Islam, katanya.
“Melihat prestasi semasa tidak mustahil UMNO akan menjadi seperti MCA apabila sedikit demi sedikit hilang sokongan yang akhirnya terus karam,” katanya seperti dilapor Utusan.
Pada masa sama, Hashim mengucapkan tahniah kepada PAS dan PN kerana berjaya menunjukkan prestasi cukup cemerlang khususnya di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang turut menyapu bersih 32 kerusi DUN.
Bahkan, katanya, prestasi PAS juga meningkat di negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor.