Isham Jalil gesa adakan mesyuarat MT, PAU khas bincang prestasi UMNO
Akar umbi semakin resah jika pimpinan parti mendiamkan diri

BANGI, 30 Muharam 1445H, Khamis – UMNO digesa segera mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) khas susulan prestasi buruk parti itu pada enam pilihan raya negeri (PRN) Sabtu lalu.
Ahli Majls Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata, sudah hampir seminggu sejak UMNO tumpas teruk dalam PRN, namun sehingga kini MT UMNO belum lagi bersidang atau dipanggil untuk bersidang.
Katanya, akar umbi akan menjadi semakin resah jika pimpinan parti mendiamkan diri dan tidak memberikan hala tuju yang jelas semasa krisis.
“Berada dalam sindrom penafian dan melengah-lengahkan masa supaya isu dilupa bukanlah pilihan yang baik untuk kita di kala ini.
“Oleh itu saya ingin menggesa dan sarankan supaya satu mesyuarat Majlis Tertinggi Khas dan Perhimpunan Agung UMNO khas diadakan segera untuk membincangkan hala tuju parti di saat yang getir dan kritikal ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Isham berkata, persidangan itu perlu membabitkan semua akar umbi UMNO yang ingin menyertainya.
Ini kerana keputusan yang perlu dibuat adalah amat penting dan memberi kesan kepada semua ahli dan akar umbi UMNO, katanya.
“Kita berada dalam keadaan yang luar biasa. Keadaan luar biasa memerlukan tindakan yang luar biasa,” katanya.
Keputusan PRN di enam negeri pada 12 Ogos lalu jelas menunjukkan isyarat penolakan rakyat terutama pengundi Melayu yang masih tidak boleh menerima blok gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN).
Isyarat itu jelas diterjemahkan apabila BN-UMNO hanya memperolehi 19 daripada 108 kerusi DUN yang ditandingi.