Berita UtamaDunia

Mahkamah Pakistan akan dengar rayuan Imran Khan kes rasuah

Dihalang bertanding PRU, dakwa pertuduhan bermotif politik

ISLAMABAD, 30 Muharam 1445H, Khamis – Mahkamah Tinggi Pakistan minggu depan akan mendengar rayuan bekas Perdana Menteri, Imran Khan berhubung hukuman penjara tiga tahun di atas kesalahan rasuah, kata peguamnya pada Rabu.

Imran dipenjarakan bulan ini selepas disabitkan kesalahan rasuah dan kemudian dihalang terbabit dalam politik selama lima tahun sekali gus menghalangnya daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum yang dijangka diadakan selewat-lewatnya tahun ini.

Bekas bintang kriket itu menafikan pertuduhan itu dan berkata, ia adalah usaha bermotifkan politik oleh para pesaingnya bagi menghalangnya daripada bertanding pada pilihan raya.

“Permohonan kami berhubung penggantungan sabitan terhadap Imran Khan telah ditetapkan pada 22 Ogos,” kata peguam Khan, Naeem Panjutha dalam satu catatan di platform media sosial X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter.

Panjutha berharap agar Mahkamah Tinggi Islamabad akan menerima rayuan tersebut dan memberikan jaminan kepada Imran.

Sebelum ini, Imran, 70, disabitkan atas tuduhan menjual hadiah negara secara tidak sah yang diperolehinya ketika memegang jawatan sebagai Perdana Menteri bagi tempoh 2018 hingga 2022.

Dia telah menuduh pihak tentera cuba melemahkan karier politiknya.

Tentera yang sudah berdekad-dekad memikul tanggungjawab mengawasi perjalanan politik negara menafikan dakwaan itu.

Pasukan Peguam Imran berkata, keadaan di penjara berhampiran Islamabad tempat dia ditahan tidak sesuai memandangkan statusnya sebagai bekas Perdana Menteri.

Pihak berkuasa berkata, Khan mempunyai hak untuk bersuara di mahkamah bagi mendapatkan jaminan yang lebih baik. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button