Berita Utama

BERJASA syor PN perluaskan usaha penyatuan Melayu untuk PRU16

Panggil parti kecil, pimpinan NGO dan tokoh nasional ke meja rundingan

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 1 Safar 1445H, Jumaat – Parti BERJASA mencadangkan supaya Perikatan Nasional (PN) memperbesarkan lagi usaha penyatuan Melayu pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.

Melalui cadangan itu, Presiden BERJASA, Haji Zamani Ibrahim mengesyorkan PN bertindak sebagai satu kumpulan yang menerajui penyatuan Melayu dengan memanggil parti-parti politik kecil, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh-tokoh nasional ke meja rundingan.

Beliau berkata, langkah itu bagi menyusun strategi untuk memperluaskan lagi saiz penyatuan Melayu yang membuahkan hasil pada pasca PRN di enam negeri, baru-baru ini.

“(Usaha) ini sekali gus memberikan satu impak yang lebih besar untuk bertarung pada PRU16 yang saya jangka tidak lama lagi, maka perlu bersedia daripada sekarang.

“PN perlu ada sifat keterbukaan untuk membawa parti-parti kecil, pimpinan NGO dan juga tokoh-tokoh nasional di meja perundingan.

“Ini bagi memperkukuhkan lagi gerakan itu supaya PRU16, PN akan dapat lebih kerusi dalam Parlimen,” katanya dalam video pendek dimuat naik di Facebook.

Menurut Zamani, PN juga perlu terbuka dan tanpa ragu untuk memposisikan kerusi-kerusi Parlimen kepada parti-parti kecil, pimpinan NGO dan tokoh nasional bersama dengan gabungan itu.

“Ini untuk menunjukkan bahawa sekarang lebih bersedia lagi dengan gelombang lebih besar untuk menakluk pentas politik pada PRU16, dan pandangan BERJASA ini sangat realistik kerana terbukti penyatuan Melayu itu dapat mengangkat PN pada keadaan sekarang ini.

“Kalau ini berlaku, penyatuan dibesarkan saiznya, dibawa parti-parti kecil, NGO-NGO dan tokoh nasional diposisikan mereka kepada kerusi Parlimen yang sesuai, saya yakin dan percaya PRU16 PN bersama dengan penyatuan Melayu akan lebih berwibawa dan padu, yang akhirnya negara akan dipimpin tanpa ragu-ragu oleh PN,” katanya.

Berdasarkan keputusan keseluruhan PRN kali ini, PN muncul sebagai parti yang mendominasi pengundian apabila memenangi 146 kerusi daripada keseluruhan 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Jumlah itu mengatasi PH yang mencatatkan kemenangan 80 kerusi manakala parti gabungannya, Barisan Nasional (BN) hanya mencatatkan 19 kerusi DUN daripada 108 kerusi DUN yang disertai.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button