Berita Utama

Implikasi kes Nik Elin besar, ayuh pertahan undang-undang syariah

Bakal tentukan sama ada badan perundangan negeri punyai kuasa buat peruntukan berkait jenayah

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 1 Safar 1445H, Jumaat – Perkembangan kes cabaran undang-undang dikemukakan seorang peguam dan anak perempuannya yang mahu mahkamah mengisytiharkan 20 kesalahan jenayah syariah digubal badan perundangan Kelantan sebagai tidak berperlembagaan, menjadi perhatian kerana ramai khuatir kesannya kepada perundangan syariah negeri lain.

Semalam, panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan mendengar cabaran terhadap peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dikemukakan oleh Nik Elin Zurina Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Peguam pemerhati mewakili Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, perbicaraan belum tamat kerana hanya pihak pempetisyen yang membuat hujahan diikuti hujahan balas daripada pihak responden iaitu Kerajaan Negeri Kelantan.

“Hujahan belum selesai, mahkamah telah menetapkan tarikh yang baharu. Tarikh yang akan dimaklumkan kepada semua pihak. Isu ini menarik kerana melibatkan sama ada undang-undang jenayah hanya boleh diterima pakai atau pun dilaksanakan atau diperuntukkan oleh Parlimen sahaja.

“… dengan itu tidak memberi keizinan untuk badan perundangan negeri masing-masing untuk memperuntukkan undang-undang berkaitan dengan jenayah. Ini isu yang penting,” katanya.

Pada prosiding, peguam pempetisyen, Datuk Malik Imtiaz Sarwar berhujah badan perundangan negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang bagi kesalahan tersebut kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan sama.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel itu berkata, mahkamah bersetuju dengan Malik bahawa kes itu tidak ada kaitan dengan doktrin Islam tetapi lebih kepada tafsiran perkataan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas perkara itu, Rafique berkata, kes ini menarik kerana mahkamah akan melihat sama ada badan perundangan dalam sesebuah kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk membuat peruntukan dalam undang-undang jenayah.

“Mahkamah, rata-rata pihak bersetuju bahawa ini tidak membabitkan isu doktrin agama Islam. Tetapi lebih kepada kebebasan sesebuah badan perundangan negeri untuk membuat undang-undang. Jadi ini saya rasa satu nasihat yang amat penting yang diberikan oleh mahkamah.

“Mahkamah tidak bertindak sebagai (pihak yang menetapkan) bahawa ini adalah haram atau halal, itu tidak. Tetapi lebih kepada sama ada Parlimen ataupun badan perundangan negeri mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang berkaitan jenayah,” katanya. 

Terdahulu, bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut meluahkan kebimbangan terhadap perkembangan kes ini ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan 2021 dalam kes Iki Putra Mubarrak lawan Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkenaan keabsahan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995. 

Ini kerana, kesan daripada keputusan mahkamah itu telah menetapkan bidang kuasa jenayah adalah bidang kuasa Persekutuan, bukan negeri, kata Dr Zulkifli. 

Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 diluluskan selepas dibentang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 14 hingga 16 Oktober 2019 seterusnya telah mendapat persetujuan Diraja pada 14 Julai 2020.

Enakmen itu kemudian diwartakan pada 31 Disember 2020 mengikut Warta Kerajaan Kelantan.

Terdapat 24 peruntukan baharu dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 antaranya sihir, dakwaan palsu, percubaan keluar Islam, memutarbelitkan ajaran Islam, tidak menghormati bulan Ramadan, memusnahkan tempat ibadat, persetubuhan dengan mayat dan persetubuhan dengan bukan manusia.

Manakala 20 jenis kesalahan Syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Kelantan yang dicabar Nik Elin adalah:

1. Seksyen 5 (Dakwaan palsu);

2. Seksyen 11 (Memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat);

3. Seksyen 13 (Menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya);

4. Seksyen 14 (Liwat);

5. Seksyen 16 (Persetubuhan dengan mayat);

6. Seksyen 17 (Persetubuhan dengan bukan manusia);

7. Seksyen 30 (Kata-kata yang boleh memecah keamanan);

8. Seksyen 31 (Gangguan seksual)

9. Seksyen 34 (Memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau pernyataan palsu)

10. Seksyen 36 (Apa-apa yang mengkhayalkan)

11. Seksyen 37 (Berjudi)

12. Seksyen 39 (Mengurangkan ukuran, sukatan dan timbangan)

13. Seksyen 40 (Melakukan transaksi muamalat yang berlawanan dengan hukum syarak)

14. Seksyen 41 (Melakukan transaksi muamalat secara riba dll.)

15. Seksyen 42 (Penyalahgunaan penandaan dan perbahasan halal)

16. Seksyen 43 (Menawar atau memberi perkhidmatan maksiat)

17. Seksyen 44 (Perbuatan sebagai persediaan untuk menawarkan atau memberi perkhidmatan maksiat)

18. Seksyen 45 (Perbuatan sebagai persediaan melakukan maksiat)

19. Seksyen 47 (Perbuatan sumbang mahram; dan/atau

20. Seksyen 48 (Muncikari)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button