Berita UtamaDunia

Israel pindahkan tahanan politik Palestin ke lokasi rahsia

4,800 kini ditahan di penjara Israel termasuk 160 kanak-kanak

TEBING BARAT, 1 Safar 1445H, Jumaat – Pegawai penjara negara haram Israel menyerbu Seksyen 3 Penjara Al-Naqab di Negev dan memindahkan tahanan politik Palestin ke satu lokasi lain.

Persatuan Banduan Palestin (PPS) dan Suruhanjaya Tahanan dan Bekas Tahanan berkata, pemindahan berkenaan dilakukan secara rahsia tanpa dimaklumkan sebarang alasan.

Tindakan itu turut mencetus kemarahan dan kecaman daripada organisasi hak asasi manusia.

Di beberapa bahagian Penjara Al-Naqab, pegawai penjara telah menjalankan pemeriksaan menyeluruh di sel, merampas semua peranti elektrik, melarang akses kantin dan lawatan keluarga dan mengenakan pengasingan kolektif ke atas lebih 100 tahanan.

Ia dilakukan sebagai tindak balas selepas beberapa tahanan melancarkan mogok lapar dan menggunakan strategi tidak bekerjasama dengan pihak berkuasa penjara.

Sehingga kini, 4,800 tahanan Palestin berada di penjara Israel termasuk 160 kanak-kanak, 29 wanita dan 194 daripada mereka adalah tahan pentadbiran.

Sejak awal tahun ini, pihak berkuasa Israel telah memperbaharui 1,302 perintah penahanan pentadbiran. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button