Berita Utama

Khutbah pesan jaga adab walau beza ideologi politik

Politik sebenarnya indah, tapi jijik bila dicacatkan individu tertentu

BANGI, 1 Safar 1445H, Jumaat – Umat Islam diajar berlapang dada dan belajar menerima kenyataan dalam semua perkara termasuk berpolitik yang mana ianya tidak boleh terlalu berlebihan hingga lupa adab sebagai seorang muslim.

Khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata, perbezaan pendapat lumrah dalam kehidupan kerana Allah SWT menciptakan manusia dengan akal fikiran berbeza.

Katanya, dalam menangani perbezaan pendapat ini, perkara utama perlu dilakukan adalah meraikan perbezaan pendapat atau pandangan orang lain dengan adab utama atau sikap tasamuh iaitu berlapang dada.

“Mengambil kesempatan pada pertembungan dua kumpulan yang saling mengumpat, mencela dan menghina semasa kempen yang lalu, khatib ingin mengajak hadirin Jumaat sekalian supaya dari saat ini berhenti dari melakukan tindakan dan percakapan yang dilarang oleh agama dalam apa juga keadaan.

“Eratkan kembali tautan ukhuwah sesama saudara seislam, bak kata pepatah ‘air dicincang tidak akan putus’. Khatib juga menasihatkan semua jemaah supaya dapat menjaga adab, tatasusila dan saling menghormati antara satu sama lain walaupun kepada mereka yang berbeza ideologi politik dengan kita.

“Utamakan ukhuwah Islamiah berbanding ketaksuban yang melampau sehingga sanggup mengetepikan hubungan persaudaraan sesama Islam dek kerana perbezaan pandangan dan haluan dalam politik kepartian,” katanya.

Khatib turut mengingatkan langkah mempertahankan persaudaraan Islam adalah lebih utama daripada mempertahankan sikap berpolitik yang tidak matang.

Bahkan, jika berbeza pegangan akidah sekalipun, hubungan persaudaraan sesama manusia tetap perlu diteruskan dan dipelihara kerana inilah keutamaan adab dan akhlak ajaran Islam yang mulia.

“Jangan pula kita sesama keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga jadi porak-peranda kerana sikap dan pendirian politik yang berbeza.

“Politik sebenarnya adalah indah dan cantik, tetapi telah dicacatkan oleh individu-individu tertentu maka kelihatanlah jijik, kerana menghancurkan persaudaraan, menghilangkan adab dan akhlak yang baik bahkan mencetuskan gejala fitnah dan tipu daya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button