KPM sedia saluran tangani isu buli, gangguan seksual
Lebih 90 peratus kes berjaya selesai kurang dari 15 hari

BANGI, 1 Safar 1445H, Jumaat – Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan tiga saluran bagi membolehkan orang ramai termasuk pihak sekolah dan juga ibu bapa memberi maklumat berhubung kes buli dan gangguan seksual.
Antara saluran yang disediakan adalah talian khas Aduan Buli, aduan buli di Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dan e-mel di [email protected].
“KPM memandang serius berhubung isu buli dan gangguan seksual membabitkan murid di semua institusi pendidikan bawah KPM.
“Semua jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan institusi pendidikan diarahkan untuk mematuhi tahap kesegeraan penyampaian maklumat dan laporan serta tindakan berkaitan buli dan gangguan seksual kepada KPM berdasarkan tempoh hari yang ditetapkan iaitu pada kadar 1:3:7 hari.
“Rekod penyelesaian aduan buli dan gangguan seksual menunjukkan lebih 90 peratus kes berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang daripada 15 hari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, antara mekanisme yang dilaksanakan bagi menangani isu buli dan gangguan seksual adalah kempen kesedaran mengenai kesan buli dan gangguan seksual terhadap mangsa di media konvensional dan media sosial.
Malah, program-program pendidikan mengenai bahaya buli dan gangguan seksual juga dilaksanakan secara bersepadu membabitkan aspek kurikulum, kokurikulum serta pembinaan sahsiah dan amalan sekolah penyayang.
“Turut dilaksanakan intervensi kepada mangsa buli dan kerjasama strategik dengan semua pihak terutamanya dengan agensi penguat kuasa bagi memastikan isu buli dan gangguan seksual dapat ditangani dengan lebih efektif,” katanya.
KPM juga buat masa ini sedang memuktamadkan garis panduan menangani buli dan gangguan seksual serta Peraturan Disiplin Murid yang baharu dalam masa terdekat.
Langkah berkenaan bagi menggantikan Ordinan Pelajaran 1957, Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah 1959).