Rakyat Syria protes bantah kenaikan harga petrol
Ekonomi merudum, penunjuk perasaan desak Bashar al-Assad undur

AMMAN, 1 Safar 1445H, Jumaat – Ribuan rakyat Syria melakukan protes di jalan raya dan melaungkan slogan antikerajaan di bandar Sweida – yang kebanyakannya etnik Druze – bagi membantah keadaan ekonomi yang semakin teruk dan kenaikan harga petrol minggu ini.
Saksi berkata, penunjuk perasaan di sekitar dataran bandar utama mendesak penggulingan Presiden Bashar al-Assad.
“Hidup Syria dan jatuhkan Bashar al-Assad!” demikian laungan penunjuk perasaan berhampiran ibu pejabat polis dan pejabat gabenor ketika pasukan keselamatan berdekatan mengelak konfrontasi.
Perselisihan terbuka seperti ini jarang berlaku di kawasan yang dikawal oleh kerajaan.
Bandar barat daya Sweida kekal dalam kuasa kerajaan dan sebahagian besarnya terhindar daripada pergolakan yang dilihat di bahagian lain.
Syria sedang mengalami krisis ekonomi merudum yang menyaksikan mata wangnya menjunam kepada rekod 15,500 pound Syria kepada dolar pada Rabu dalam kejatuhan bebas yang pesat.
Ia didagangkan pada 47 paun kepada dolar pada permulaan konflik.
Kerajaan berkata, pemotongan dalam program subsidi untuk meringankan beban kewangan negara yang terkena sekatan hanya memberi kesan kepada golongan terkaya.
Bagaimanapun ramai penunjuk perasaan berkata, tindakan itu memburukkan lagi nasib rakyat Syria yang mengalami peperangan selama sedekad dan kini bergelut untuk membeli makanan dan bekalan asas di tengah-tengah inflasi dan pendapatan yang semakin berkurang.
Pihak berkuasa Syria menyalahkan sekatan Barat di atas kesusahan yang dialami negara itu. – Agensi