TV Pertiwi lapor polis laman web disekat
Tidak tahu punca portal berita disekat, belum terima sebarang notis

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BANGI, 1 Safar 1445H, Jumaat – Ketua Pegawai Operasi TV Pertiwi, Mohd Firdaus Salleh Hudin hari ini membuat laporan polis susulan laman web portal berita itu disekat kepada pengguna di Malaysia kerana didakwa melanggar undang-undang.
Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Bandar Baru Bangi, Kajang pada jam 9.31 pagi tadi.
Mohd Firdaus berkata, laman web tvpertiwi.com.my telah disekat oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atas sebab yang tidak dapat dikenal pasti.
Justeru, laporan polis dibuat sebagai rujukan untuk mendapatkan penjelasan SKMM berhubung sekatan ke atas portal berita itu.
“Kami akan membuat aduan rasmi kepada SKMM selepas ini,” katanya di sini, hari ini.
Pada masa sama, beliau memaklumkan, pihaknya masih belum menerima notis mengenai sekatan itu daripada pihak bertanggungjawab.
Terdahulu, TV Pertiwi menggesa kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi dan Digital serta SKMM menjelaskan perkara tersebut selain menyatakan kesalahan telah dilakukan portal berkenaan.
Mohd Firdaus berkata, TV Pertiwi selaku sebuah organisasi media bebas sewajarnya diberikan keadilan dan berhak menyiarkan kandungan termasuk mengkritik kerajaan dengan menggunakan hak kebebasan media dan hak kebebasan bersuara.
Untuk rekod, pada 15 Ogos lalu, akaun TikTok TV Pertiwi juga disekat tanpa sebarang penjelasan.
“Sekatan ini menimbulkan persoalan di manakah sikap keterbukaan pihak kerajaan dalam berinteraksi dengan kepelbagaian pandangan berkaitan isu politik dan isu semasa,” katanya.