1,000 tahanan Palestin lancar mogok lapar
Penduduk turun ke jalanan tentang penindasan rejim Zionis

RAMALLAH, 2 Safar 1445H, Sabtu – Hampir 1,000 banduan Palestin yang ditahan di beberapa penjara Israel melancarkan mogok lapar secara terbuka sebagai protes terhadap pencerobohan pentadbiran penjara Israel termasuk kempen serbuan terbaharu.
Menurut Pejabat Maklumat Tahanan Palestin, Perkhidmatan Penjara Israel baru-baru ini meningkatkan sasaran tahanan Palestin dengan melancarkan kempen serbuan terhadap seksyen 3 dan 4 di Penjara Negev.
Sebelum itu, pihak berkuasa Israel telah memecah masuk ke dalam seksyen 26 di penjara sama, kata Pejabat Tahanan Palestin dalam kenyataan bersama Pihak Berkuasa Hal Ehwal Banduan pada Khamis.
Menurut kenyataan itu, pihak pentadbiran penjara turut memindahkan sejumlah banduan ke Penjara Raymond.
Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir dalam lawatannya ke Penjara Ofer menggesa pihak berkuasa memberikan layanan yang lebih keras terhadap tahanan Palestin.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Penerangan Banduan, Ahmed Al-Qidra berkata, selepas tahanan mengadakan mogok kolektif, semua rakyat Palestin juga mesti berperanan mengumumkan mobilisasi dan turun ke jalan untuk menyokong perjuangan tahanan menentang penindasan ke atas mereka di penjara.
Ahmed menggesa perhimpunan besar-besaran dibuat sebagai ekspresi kemarahan rakyat terhadap pencerobohan Israel terhadap tahanan.
Tidak lama selepas memegang jawatan, Ben-Gvir menyasarkan tahanan Palestin dengan beberapa dasar penindasan yang sewenang-wenangnya, termasuk menafikan pemberian roti pita.- Agensi