PAS dijangka beri laluan pada Bersatu tanding PRK Pulai
Mohd Zuhdi ramal keputusan 50-50 atau majoriti kecil

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BANGI, 2 Safar 1445H, Sabtu – PAS dijangka memberi laluan kepada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, 9 September ini.
Manakala untuk kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) Simpang Jeram, kemungkinan calon PAS akan bertanding, kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.
“Calon Bersatu ini pun kita belum tahu kaumnya. Ini kerana parti itu bersekutu contoh beberapa tempat di Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini parti itu hantar calon bukan Melayu.
“Pulai ini kita tahu kerusi tradisi Amanah. Kemenangannya banyak disumbang oleh pengundi-pengundi Cina.
“Sebelum ini pengundi Melayu di Pulai berpecah kepada UMNO dan PAS. UMNO mendapat sebahagian besar pengundi Melayu. Tetapi kali ini saya yakin pengundi Melayu tidak berpecah. Sama ada mereka mengundi PN ataupun Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Ismaweb.net selepas Dialog Kuasa Nasional: Adakah Ekonomi Madani Membangunkan Kuasa Nasional yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.
Mohd Zuhdi ditanya mengenai peluang PN memenangi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram susulan komposisi kaum Melayu dan Cina yang dilihat hampir seimbang.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan lonjakan pengundi Melayu dan Cina pada PRN Selangor 12 Ogos lalu, Mohd Zuhdi menjangkakan keputusan kali ini sama ada 50-50 ataupun majoriti itu dikecilkan.
Baginya, sekiranya calon PH menang sekalipun, ia tidak seselesa dahulu.
Beliau turut percaya lonjakan pengundi Melayu berlaku di Johor seperti Negeri Sembilan bahkan sudah mencecah sehingga 80 peratus bagi negeri utara.
“Itu yang saya boleh sebut. Di Simpang Jeram peluang itu lebih besar sebab komposisi pengundi Melayu yang lebih besar.
“Yang menyumbang kepada peningkatan itu sebahagian besarnya peralihan undi daripada UMNO. Kalau di Selangor sebenarnya ramai pengundi UMNO mengundi PN,” katanya.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan kekosongan luar jangka susulan kematian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub selaku penyandang kedua-dua kerusi terbabit pada 23 Julai lalu.
Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Kedah pada jam 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.