Siri 1: Memahami pertembungan ideologi
Dua kalimah syahadah pakej ubah sistem hidup, politik, ekonomi dan segenap kehidupan

1. MINGGU lalu saya menyampaikan kuliah di Surau Bangi Perdana. Perbincangan berkisar di persoalan apakah yang menjadi sebab penentangan terhadap Islam dan umat Islam? Adakah kerana akidahnya atau kerana faktor perebutan kuasa atau kerana persaingan ekonomi?
Ini sekaligus boleh menjawab hakikat pertembungan sesama blok-blok pakatan politik dan sesama blok-blok bukan politik di tanahair kita.
2. Saya cuba berkongsi di sini apa yang saya sampaikan walau pun mungkin saya tidak begitu pandai dalam menyusun kata-kata untuk menerangkan perkara yang mungkin rumit kepada sesetengah anggota masyarakat kita. Saya harap bagi yang berminat untuk membacanya, bacalah berulang kali.
3. Di dalam al-Quran secara jelas Allah menyebut:
الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِن دِيَارِهِم بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّا أَن يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّه
“Iaitu mereka (muhajirin Mekah) yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: “Tuhan kami ialah Allah”. (Al-Hajj: 40)
Juga firman Allah:
وَمَا نَقَمُوا مِنْهُمْ إِلَّا أَن يُؤْمِنُوا بِاللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ
“Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!” (Al-Buruj:
Secara jelas Allah menerangkan bahawa penentangan terhadap golongan muhajirin atau orang-orang beriman dan Ashabul Ukhdud di zaman silam adalah kerana faktor aqidah atau agama.
4. Tetapi faktor ancaman hilang kuasa dan pengaruh tetap ada juga kepada sang raja yang mengaku tuhan dalam kisah Ashabul Ukhdud.
Manakala ketakutan Quraisy kehilangan kuasa politik Mekah dan kehilangan kuasa ekonomi juga jelas di dalam sirah Rasulullah saw. Quraisy menganggarkan mereka akan kehilangan 250 ribu dinar emas dagangan mereka di Syam sahaja kalau negara Islam Madinah berjaya ditubuhkan. Itu belum masuk dagangan mereka di dalam Mekah sendiri (jual berhala, arak, pelacuran, riba dan sebagainya). Belum lagi dikira kerugian dagangan di Yaman.
5. Dua kalimah syahadah yang dibawa oleh Rasulullah saw ada implikasinya dalam kehidupan. Perkataan ‘Ilah’ membawa makna yang cukup luas dari sekadar pengiktirafan terhadap Allah sebagai Sang Pencipta dan Pemberi Rezeki. Sebaliknya ia juga bermakna Tuhan yang wajib ditaati segala arahanNya. Termasuk dalam arahan Tuhan itu adalah menundukkan semua sistem hidup kepada sistem Islam yang Allah redhai sahaja; politiknya, ekonominya, sosialnya.
6. Inilah yang difahami oleh Waraqah bin Naufal ketika mengandaikan bahawa Rasulullah saw akan dihalau dari Mekah walaupun pada asalnya amat dicintai oleh seluruh penduduk Mekah.
يا ليتني فيها جذعاً أكون حياً حين يخرجك قومك؟ فقال رسول الله: أو مُخرجيَّ هم ؟ فقال ورقة: نعم، لم يأت رجل قط بما جئت به إلا عودي، وإن يدركني يومك أنصرك نصراً مؤزراً
“Alangkah baiknya jika aku masih hidup, muda dan kuat ketika kaummu menghalau kamu.” Rasullullah saw bertanya: “Adakah mereka akan menghalau aku?” Waraqah menyambung: “Ya. Tidak ada seorang lelaki pun yang membawa seperti apa yang kamu bawa kecuali mereka akan dimusuhi. Jika aku masih hidup ketika itu aku akan membantumu dengan bantuan yang teguh.” (Riwayat Bukhari)
Begitu juga yang difahami oleh Bani Syaiban ketika mereka berkata kepada Rasulullah saw:
وإني أرى هذا الأمر الذي تدعونا إليه
يا أخا قريش مما تكره الملوك
“Aku melihat urusan yang kamu bawa ini wahai saudara Quraisy adalah urusan yang dibenci oleh raja-raja.” (Riwayat
Baihaqi)
7. Dua kalimah syahadah tidak hanya bererti menukar sembahan dari menyembah Latta dan Uzza serta berhala lain kepada Allah. Kalaulah implikasi ucapan dua kalimah syahadah itu hanya sekadar itu, nescaya tidaklah menjadi isu besar kepada musyrikin Quraisy. Tidak juga menjadi isu besar kepada penjajah Barat di zaman penjajahan sebelum ini.
8. Quraisy sememangnya menganggap Allah sebagai Tuhan Agung disamping tuhan-tuhan lain sebagai pengantara. Menjadikan Allah sebagai sembahan tidak menjadi isu kepada mereka bahkan mereka sudah menawarkan kompromi menyembah tuhan secara bergilir.
Barat pula tidak ada isu pada apakah yang disembah. Mereka telah berubah dari keyakinan yang menganggap Kristian (Katholik) sahaja sebagai agama penyelamat kepada penerimaan pelbagai aliran baru Kristian dan agama-agama lain.
9. Dua kalimah syahadah datang bersama dengannya pakej merubah sistem hidup; politik, ekonomi, sosial, pendidikan, budaya dan segenap sistem dalam kehidupan. Menghadkan dua kalimah syahadah hanya pada ritual sembahan sahaja tanpa merubah segala sistem hidup yang lain berlawanan dengan perintah Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya” (Al-Baqarah: 208)
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Perunding Kanan Hubungan Antarabangsa Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)