Berita Utama

Tak perlu mendabik dada, DAP menang Sungai Pelek bukan sebab Melayu sokong

Pertambahan undi mungkin kerana calon baru ganti Ronnie Liew yang penuh kontroversi

BANGI, 2 Safar 1445H, Sabtu – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook tidak perlu mendabik dada kononnya mendapat sokongan pengundi Melayu, hanya kerana parti itu mendapat satu kerusi majoriti Melayu di Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN), baru-baru ini.

Hakikatnya, majoriti tipis yang diperoleh calon DAP, Lwi Kian Keong ke atas Datuk Suhaimi Ghazali daripada Perikatan Nasional (PN) bukanlah petanda pengundi Melayu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pelek menyokong DAP.

Yang Dipertua BERJASA Sepang, Yudi Kurniawan Budi berkata, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), DAP hanya mampu menambah 4,500 undi kepada 17,984 pada PRN kali ini.

“Untuk membetulkan dan menepis dakwaan Anthony Loke, semasa PRU14 DAP hanya mendapat 13,484 undi, namun dalam PRN ini mereka hanya mampu menambah 4,500 undi kepada 17,984 undi sahaja.

“Sedangkan PAS pada PRU14 mendapat 5,200 undi meningkat kepada 16,526 undi yang diperolehi Bersatu-PN, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali dalam PRN kali ini. Itu adalah peningkatan 11,326 undi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai membidas kenyataan Loke yang bangga selepas melihat pengundi menaruh kepercayaan kepada calon daripada DAP di kerusi DUN Sungai Pelek pada PRN lalu.

Loke dilaporkan mendakwa, Sungai Pelek adalah kawasan majoriti Melayu tetapi mereka mengundi calon Cina menunjukkan rakyat Malaysia lebih bersedia untuk memilih calon bukan Melayu atau bukan Islam walaupun pembangkang mendakwa sebaliknya.

“Kerusi yang paling kami banggakan ialah Sungai Pelek. Ia adalah kawasan majoriti Melayu, hampir 60 peratus Melayu, 20 peratus Cina manakala undi India hampir tidak mencapai 15 peratus.

“Komposisi di sana adalah 60-40 dengan 60 orang Melayu dan 40 bukan Melayu. Kita letak seorang Cina dari akar umbi dan kita kalahkan calon Perikatan Nasional, dari Bersatu. Jadi ini adalah kemenangan yang sangat ketara di mana seorang Cina DAP menewaskan seorang Melayu dari PN di kawasan Melayu,” kata Loke.

Membidas kenyataan Loke itu, Yudi mengingatkan pemimpin DAP berkenaan supaya tidak bermimpi di siang hari kerana dengan yakin menyebutkan DAP-PH menang disebabkan sokongan Melayu tanpa menyebut jentera UMNO Sungai Pelek yang sebenarnya turun padang dan bekerja keras di kawasan terbabit.

“Faktor lain yang memungkinkan pertambahan sedikit undi kepada DAP ialah calon muka baru DAP, Lwi Kian Keong menggantikan Ronnie Liew yang diselubungi banyak isu dan kontroversi selama ini.

“Ronnie Liew tidak disukai pengundi Melayu Sungai Pelek. Perlu diingat dan diambil kira ialah faktor pertambahan undi18 dan undi automatik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button