Berita Utama

Puad Zarkashi dakwa Ismail Sabri silap

‘UMNO tak pernah ubah idealisme perjuangan, kekal dengan perjuangan Islam dan Melayu’

BANGI, 3 Safar 1445H, Ahad – Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menepis dakwaan Datuk Seri Ismail Sabri yang mendakwa UMNO kini lari daripada idealisme asal sekali gus menjadi punca sokongan orang Melayu semakin menipis pada Pilihan Raya Negeri (PRN), lalu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menyifatkan bekas Perdana Menteri kesembilan itu gagal membezakan antara idelaisme dengan kaedah atau cara berjuang (Uslub).

Beliau menegaskan UMNO tidak pernah mengubah idealisme perjuangan dan ia kekal dengan perjuangan Islam dan Melayu.

“Ismail Sabri silap. Dia gagal membezakan antara idealisme dengan kaedah atau cara berjuang (uslub).

“UMNO tidak pernah mengubah idealisme perjuangan. Ia kekal dengan perjuangan Islam dan Melayu.

“Bahkan UMNO meminda Perlembagaan parti di mana Islam diletakkan paling atas. Apa yang berubah ialah cara atau kaedah perjuangan (uslub)m” katanya menerusi catatan di Facebook, hari ini.

Semalam, Ketua UMNO Bahagian Bera itu menerusi ruangan kolum Jalar Fikir yang disiarkan Utusan Malaysia mendakwa punca penolakan pengundi Melayu adalah kerana mereka melihat UMNO telah menyimpang daripada idealisme perjuangan asal.

Katanya, salah satu buktinya apabila kepimpinan UMNO memusnahkan Muafakat Nasional (MN) yang menjadi harapan umat Melayu terhadap penyatuan ummah.

Lebih memburukkan keadaan, katanya, apabila kepimpinan tertinggi parti itu mengheret UMNO untuk bersama DAP.

Mengulas lanjut, Puad menjelaskan Uslub boleh berubah mengikut keperluan semasa namun parti itu tidak pernah mengubah dasar yang dibawa selama ini.

“UMNO tidak mengubah dasar, apa yang berubah ialah cara atau kaedah perjuangan (uslub). Uslub boleh berubah mengikut keperluan semasa,” katanya.

Beliau turut menjelaskan menyertai kerajaan perpaduan yang turut disertai DAP tidak ada kena mengena dengan idealisme.

“Ia adalah uslub perjuangan. Masa berubah, maka cara berpolitik juga berubah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button