Berita Utama

Cabaran kerajaan Selangor hadap 22 ADUN pembangkang

PH-BN perlu kerja kuat yakinkan rakyat mampu tadbir tanpa majoriti dua pertiga

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 4 Safar 1445H, Isnin – Walaupun Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) di bawah Kerajaan Campuran kekal menguasai Selangor, gabungan itu gagal menepati ramalan untuk memperoleh majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

PH-BN hilang penguasaan dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) akibat asakan kuat daripada Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 22 kerusi berbanding 11 kerusi sebelum ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PH membentuk kerajaan negeri Selangor selepas memperoleh 51 kerusi DUN dari 56 kerusi yang dipertandingkan.

PKR memperoleh kerusi terbanyak dengan 28 kerusi, diikuti DAP (14), AMANAH (lima) dan BERSATU (empat), sementara BN ketika itu memperoleh empat kerusi dan satu kerusi DUN dimenangi PAS.

Namun, pada Februari 2020, berlaku perubahan kerajaan Persekutuan yang menyaksikan Bersatu meninggalkan PH, namun di Selangor, penguasaan pentadbiran kerajaan negeri masih kekal kepada PH.

Meskipun BN menjadi antara komponen PH di Selangor pada PRN kali ini, percaturan itu bagaimanapun gagal menjadi nilai tambah buat kerajaan baharu yang diterajui kembali oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari.

Dengan kemenangan 22 kerusi, PN membentuk pembangkang yang kuat di DUN Selangor yang turut menyaksikan tokoh utamanya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menang di DUN Hulu Klang, sekali gus menjadikan komposisi kerajaan dan pembangkang hampir seimbang.

Semak, imbang lebih efektif berbanding Terengganu

Melihat kepada perubahan komposisi kerusi di negeri itu, penganalisis politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood menjangkakan akan berlaku perubahan dalam pemerintahan baharu kerajaan Selangor untuk penggal ini.

Beliau menjelaskan, komposisi yang hampir seimbang antara kerajaan dan pembangkang akan membawa cabaran kepada Menteri Besar serta Exco sepanjang pentadbiran.

“Dahulu senang sebab PH ada majoriti dua pertiga, maka jika ada isu berkait pindaan peruntukan negeri sudah mudah untuk kerajaan memperoleh sokongan.

“Tetapi sekarang, jika perlunya pindaan kerajaan negeri mesti pastikan ada sokongan daripada pembangkang, maka ia cabaran untuk Menteri Besar dan Exco baharu lebih besar kerana pembangkang akan memerhati secara terperinci,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Justeru, beliau menasihatkan kerajaan baharu di Selangor untuk bekerja lebih kuat berbanding sebelumnya bagi meyakinkan rakyat bahawa PH-BN boleh mengurus tadbir dengan baik walaupun tanpa majoriti dua pertiga.

“Kita boleh bandingkan dengan kerajaan negeri Terengganu, langsung tiada pembangkang. Maka, dari konteks semak dan imbang itu nampaknya tidak begitu efektif.

“Namun di Selangor, saya percaya kerajaan negeri boleh menjadi lebih baik berbanding Terengganu yang tiada pembangkang kerana mempunyai semak imbang yang efektif daripada pembangkang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button