Amaran kerajaan jangan sentuh 3R dah tak relevan
Polarisasi kaum amat jelas, makin melebar pasca PRN

BANGI, 5 Safar 1445H, Selasa – Amaran kerajaan yang melarang mana-mana pihak supaya tidak menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R) sudah tidak relevan, berikutan polarisasi kaum amat jelas dan semakin melebar.
Atas sebab itu, Perunding Kanan Politik dan Perundangan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya percaya isu berkaitan 3R akan terus menjadi agenda penting untuk dimainkan oleh pemain politik daripada kedua-dua pihak kerajaan mahupun pembangkang.
Pandangan itu disuarakan beliau susulan merujuk analisa penganalisis politik dari University of Nottingham, Bridget Welsh terhadap Pilihan Raya Negeri (PRN), baru-baru ini.
Aminuddin menyimpulkan bahawa rakyat yang mengundi gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN), bukanlah atas dasar sokongan, tetapi untuk menentang Perikatan Nasional (PN).
“Pengundi ditakut-takutkan akan momokan ‘ekstremis’ terhadap PN, dan itulah kelompok yang terpengaruh. DAP dan pengundi tegarnya adalah tonggak punca kemenangan PH-BN.
“Ini bermakna PMX akan melakukan apa sahaja demi mengekalkan sokongan bukan Melayu. Ini sudah pasti bukan suatu khabar yang baik untuk orang Melayu kerana kemungkinan besar akan banyak perkara yang dikompromi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam kesimpulan itu, beliau turut menyifatkan UMNO gagal untuk meraih undi Melayu meskipun PH-BN bergantung kepada parti berkenaan.
Bukan sekadar itu, Aminuddin berkata, UMNO juga mengalami kemerosotan sokongan politik orang Melayu yang parah, di mana antara puncanya adalah faktor dalaman serta kerjasama parti dengan DAP.
“Walaupun PMX berusaha bersungguh-sungguh untuk menarik pengundi muda dan orang Melayu, namun ia tetap gagal. UMNO semakin hilang sokongan akar umbi.
“Jika trend ini berterusan dan UMNO tidak melakukan apa-apa perubahan yang drastik bermakna UMNO akan bertemu dengan titik noktah pada PRU16 nanti. UMNO akan bergantung kepada undi bukan Melayu untuk kekal.
“Sesuatu yang tidak pernah terfikir akan berlaku kepada parti ‘keramat’ orang Melayu. Sudah pasti UMNO tidak lagi boleh bercakap soal Melayu secara tegas. Persoalannya, jika ini berlaku apakah wajar orang Melayu masih perlu bergantung harap kepada UMNO?,” katanya.
Berdasarkan keputusan keseluruhan PRN kali ini, PN muncul sebagai parti yang mendominasi pengundian apabila memenangi 146 kerusi daripada keseluruhan 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Jumlah itu mengatasi PH yang mencatatkan kemenangan 80 kerusi manakala parti gabungannya, BN-UMNO hanya mencatatkan 19 kerusi DUN daripada 108 kerusi DUN yang disertai.