Berita Utama

Sanusi perjelas sebab MB atau Exco pegang banyak portfolio

Untuk selaras dengan Kerajaan Pusat kerana Kabinet Negeri cuma 11 orang

BANGI, 5 Safar 1445H, Selasa – Keperluan seorang Menteri Besar atau setiap Exco memegang lebih daripada satu portfolio dalam pentadbiran kerajaan negeri adalah bagi mengimbangi bidang kuasa yang terdapat di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, terdapat juga struktur dalam kerajaan negeri yang tidak wujud di Persekutuan dan begitu juga sebaliknya.

“Kenapa seorang MB dan Exco pegang banyak portfolio?

“Kabinet Kerajaan Persekutuan Malaysia (2022) ada 28 orang dan setiap menteri pegang dua atau tiga portfolio.

“Kabinet Negeri cuma 11 orang dan setiap Exco akan pegang banyak portfolio untuk diselaraskan dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Pelantikan Exco semalam menyaksikan Sanusi memegang portfolio terbesar iaitu lapan berbanding tujuh ketika beliau mengangkat sumpah jawatan pada 2020 lalu.

Beliau memegang portfolio Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Mineral dan Geosains, Hasil Bumi, Kewangan, Syarikat Berkaitan Kerajaan, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Pembangunan Kedah 2035, Kerjasama Luar.

Terdahulu, seramai 10 Exco Kedah mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Balai Menghadap Besar, Istana Anak Bukit di Alor Setar.

Daripada 10 Exco berkenaan, enam mewakili PAS, tiga daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta wakil tunggal daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button