Sekadar 1 kerusi, Gerakan masih nyawa-nyawa ikan?
Orang Cina tak suka kerana anggap Gerakan ini 'liberal'

Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 5 Safar 1445H, Selasa – Parti Gerakan dilihat masih terumbang-ambing dan seakan ‘menumpang’ populariti dan kemenangan Perikatan Nasional (PN) menawan hati pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Walaupun gelombang PN menguasai Kelantan, Terengganu dan Kedah, juga semakin meluas di Selangor, Pulau Pinang serta Negeri Sembilan, hakikatnya sokongan pengundi terhadap Gerakan masih lemah, apabila sekadar menang satu kerusi daripada 36 yang ditandingi.
Keadaan itu memperlihatkan seolah-olah percaturan Gerakan meninggalkan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan kemudian menyertai PN , tidak memberikan ‘nyawa’ kepada parti berasaskan kaum Cina itu.
Keputusan rasmi PRN kali ini menunjukkan prestasi Gerakan dalam pilihan raya masih belum menunjukkan sebarang peningkatan walaupun ketika berada dalam BN sebelum ini.
Bahkan, keputusan Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas di Pulau Pinang – 64 peratus pengundinya adalah Melayu – juga tidak membawa nilai tambah kepada Gerakan mendapatkan jumlah kerusi yang lebih selesa di dalam PN.
Secara rasminya, Gerakan tewas di semua 19 kerusi ditandingi parti berkenaan di Pulau Pinang walaupun bertanding atas tiket PN.
Parti itu yang sebelum ini mendominasi pentadbiran Pulau Pinang sejak 1969 sebelum kecundang pada PRU 2008, dilihat masih belum mampu melonjakkan prestasinya untuk bersaing dengan parti lain ketika ini.
Bukan saja di Pulau Pinang, Gerakan juga tewas keseluruhannya di lapan kerusi di Selangor dan enam kerusi di Negeri Sembilan dengan kekalahan itu kebanyakannya membabitkan kerusi campuran.
Parti itu hanya berjaya menang di DUN Kulim di Kedah apabila calonnya, Wong Chia Zhen, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Awang Teh dengan majoriti 7,742 undi.
Bagaimanapun, Gerakan gagal memenangi dua lagi kerusi ditandingi mereka iaitu membabitkan DUN Kota Darul Aman dan Bakar Arang.
Prinsip Gerakan tidak disukai kaum Cina
Diminta mengulas mengenai prestasi politik parti itu, penganalisis politik veteran, Professor Dr Ahmad Atory Hussain menyifatkan sukar untuk Gerakan mendapat tempat dalam kalangan pengundi Cina, sebagai parti utama yang memperjuangkan kaum berkenaan.
Ini kerana, Gerakan sehingga kini tidak menonjolkan individu berkarisma sebagai pemimpin partinya, selain mempunyai prinsip dan ideologi yang berbeza dengan DAP.
“Gerakan ini liberal bagi orang Cina. Bila liberal, (Gerakan) dia lebih ke arah ideologi dan prinsip-prinsip Perikatan Nasional. Jadi ini yang menyebabkan orang Cina tidak bersetuju dengan prinsip dibawa Gerakan.
“Kalau Gerakan ikut prinsip macam DAP dan bawa 3R, saya percaya parti itu boleh mendapat undi daripada orang Cina. Tetapi nampaknya Gerakan tidak buat begitu,” katanya kepada Ismaweb.net.
Bagaimanapun, Prof Ahmad Atory juga percaya, Gerakan mungkin dalam dilema untuk berbuat demikian memandangkan posisinya di dalam PN menyukarkan prinsip DAP itu dilaksanakan.
“Jika Gerakan ikut prinsip dan perjuangan DAP yang mahu kesaksamaan, saya yakin PN tidak akan menerima mereka dalam gabungan itu. Bermakna, Gerakan juga serba salah.
“Nak bawa prinsip asas perjuangan Cina seperti DAP mungkin PN tak setuju, tetapi jika seperti sekarang mereka akan terus ditolak pengundi kaum itu. Ini adalah malang buat Gerakan,” katanya.