Berita UtamaDunia

Serangan Israel bunuh pejuang pro-Syria

Peluru berpandu Zionis musnahkan depot senjata militia pro-Iran, Hizbullah

BEIRUT, 5 Safar 1445H, Selasa – Dua pejuang yang menyokong kerajaan Syria terbunuh dalam serangan udara negara haram Israel di kawasan berhampiran Damsyik.

“Dua pejuang prorejim terbunuh dalam serangan Israel terhadap kedudukan tentera di barat daya dan tenggara ibu negara.

“Peluru berpandu Israel memusnahkan depot senjata militia pro-Iran dan Hizbullah Lubnan.

“Ia berlaku beberapa kilometer daripada lapangan terbang antarabangsa Damas dan sekitar kawasan Kiswah,” kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.

Agensi berita rasmi Syria, SANA, sebelum ini melaporkan bahawa pertahanan udara negara itu telah memintas ‘sasaran musuh’ di kawasan Damsyik, tanpa butiran lanjut.

“Musuh Israel melakukan serangan dengan peluru berpandu dilancar dari Bukit Golan yang diduduki… mencederakan seorang askar dan menyebabkan kerosakan material,” katanya.

Selama lebih sedekad perang saudara di Syria, Israel melancarkan ratusan serangan udara ke atas wilayahnya, menyasarkan tentera yang disokong Iran dan pejuang Hizbullah Lubnan serta kedudukan tentera Syria.

Israel jarang mengulas mengenai serangan yang dilakukannya di Syria, namun berulang kali berkata, ia tidak akan membenarkan Iran meluaskan kehadirannya di negara itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button