Berita UtamaDunia

Serangan udara Russia di Syria bunuh dua orang awam

Lima lain cedera termasuk seorang wanita dan 2 kanak-kanak

SANAA, 6 Safar 1445H, Rabu – Serangan udara Russia di barat laut Syria – yang dikawal pemberontak – membunuh dua orang awam, kata kumpulan penyelamat White Helmets.

“Dua lelaki, kedua-duanya orang awam, terbunuh…dan lima yang lain termasuk seorang wanita dan dua kanak-kanak cedera,” kata anggota sukarelawan White Helmets, Rami al-Dandal kepada AFP.

Katanya, seorang daripada mangsa maut berusia 18 tahun dan seorang lagi warga emas.

Wartawan AFP di tempat kejadian melaporkan, Russia melancarkan dua serangan di bandar Ain Shib, bandar Idlib barat.

Terdahulu, serangan udara Russia menyasarkan pangkalan pemberontak di bandar Idlib utara yang menyasarkan kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS), membunuh tiga orang.

Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), sekurang-kurangnya tujuh anggota HTS yang lain cedera bersama lima orang awam lain.

Wilayah Idlib yang dikuasai pemberontak adalah rumah kepada kira-kira tiga juta orang dan salah satu kawasan terakhir yang dikuasai pemberontak di negara itu.

Awal bulan lalu, pesawat pejuang Russia membunuh sekurang-kurangnya tiga orang awam daripada keluarga yang sama di wilayah barat laut Idlib.

Pada Jun, serangan udara Russia mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang di wilayah Idlib dalam serangan yang disifatkan oleh SOHR sebagai yang paling dahsyat pada tahun ini.

Kira-kira sembilan orang awam, termasuk dua kanak-kanak antara yang maut, manakala enam orang terbunuh dalam pasar buah-buahan di Jisr Al-Shughur.

Ratusan ribu orang terbunuh di Syria sejak perang meletus pada 2011 – kebanyakannya orang awam – jutaan rakyat dipindahkan secara dalaman dan luaran malah ramai yang menjadi pelarian di Timur Tengah dan Eropah.

Selepas kemenangan pemberontak pada awal tahun peperangan, Presiden Syria, Bashar al-Assad dapat mengubah keadaan dengan sokongan Russia serta Iran dan pasukan pembangkang kini hanya mengawal sebahagian daripada bahagian utara negara itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button