Firdaus Wong kecam MCCBCHST sibuk campur urusan agama Islam
MCCBCHST pertikai pelaksanaan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah

BANGI, 7 Safar 1445H, Khamis – Tindakan Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) mempertikaikan pelaksanaan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di setiap sekolah bawah Kementerian Pendidikan (KPM) sudah dijangka.
Ini kerana, ia bukan kali pertama majlis itu menyuarakan langkah sedemikian memandangkan pada 2011, mereka juga mendesak umat Islam tidak melakukan ibadah korban menyembelih lembu di sekolah atau tempat awam selain membantah program Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di sekolah.
Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung berkata, walaupun hak mereka sebagai rakyat untuk bersuara dan mempertahankan hak, tetapi tetap perlu berpada-pada.
“Apakah mereka fikir hanya mereka sahaja yang ada hak dan sensitiviti tetapi kami sebagai muslim tiada hak dan tiada sensitiviti?
“Bila muslim protes, kami pula dituduh ekstrim, mudah keliru dan sensitif tetapi bila mereka protes itu untuk melindungi hak mereka. Apa punya’ double standard’?”
“Mereka pula sibuk nak tentukan apa muslim boleh buat dan perlu buat sedangkan apa yang nak dilakukan muslim tak bercanggah dengan Perlembagaan dan undang-undang,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Firdaus secara sinis berkata, sekiranya umat Islam melakukan perkara sama dengan masuk campur urusan agama lain ibarat kecoh satu dunia malah mungkin ribuan laporan polis dibuat.
“Kami muslim tak pernah masuk campur dalam urusan agama kamu kerana menghormati hak kamu tetapi tolonglah, hormati juga hak dan sensitiviti kami!
“Saya berharap pihak berkuasa ambil tindakan tegas terhadap NGO ini kerana bukan sekali dua dah mereka masuk campur urusan agama Islam. Bukankah ini juga isu 3R?” soalnya.
Terdahulu, MCCBCHST menyatakan ‘kebimbangan mendalam’ terhadap kemungkinan pelajar bukan Islam mempelajari modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.
Katanya, Perkara 12(2) dan Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan menghalang rakyat Malaysia daripada mengambil arahan dalam mana-mana agama selain agama mereka.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying dilaporkan berkata, modul yang akan diperkenalkan di sekolah awam adalah untuk pelajar Islam sahaja.
Katanya, perkara itu dijelaskan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika mesyuarat pasca-Kabinet semalam.