Berita Utama

Pulau Pinang minta MBSP batalkan konsert di Kepala Batas

Tak ambil kira sensitiviti umat Islam, apatah lagi diadakan dua hari selepas Maulidur Rasul

GEORGE TOWN, 7 Safar 1445H, Khamis – Kerajaan Pulau Pinang meminta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) membatalkan kelulusan konsert Viral Lagu-Lagu Tik Tok yang dijadual berlangsung pada 30 September di Dewan Milenium, Kepala Batas dekat sini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, konsert itu telah mendapat bantahan penduduk setempat kerana dikatakan tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam, lebih-lebih lagi ia diadakan dua hari selepas umat Islam meraikan sambutan Maulidur Rasul.

“Kerajaan negeri mengambil maklum mengenai konsert itu dan selaku Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat, saya telah meminta pihak MBSP untuk membatalkan kelulusan konsert berkenaan,┬ábagaimanapun pihak penganjur memohon memindahkan lokasi konsert ke Batu Kawan dengan syarat-syarat tambahan.

“Warga setempat (Kepala Batas) telah mengemukakan bantahan rasmi mereka kepada Datuk Bandar MBSP baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejak Selasa, tular poster penganjuran Konsert Viral Lagu-Lagu TikTok Malaysia Indonesia 2023 yang menampilkan artis antaranya Baby Shima dan beberapa artis Indonesia.

Bagaimanapun, di dalam poster itu tidak dinyatakan mengenai kadar caj tiket selain tiada maklumat lengkap pihak penganjur yang mengendalikan acara terbabit.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam hantaran di Facebooknya turut menyatakan bantahan mengenai penganjuran konsert berkenaan.

Katanya, setelah mendapat maklumat terperinci beliau telah mengarahkan #TeamBertamKita mengemukakan bantahan rasmi kepada Datuk Bandar MBSP, Datuk Azhar Arshad.

“Penganjuran konsert hiburan sebegini, pertamanya tidak sesuai diadakan dalam persekitaran Kepala Batas dan keduanya ia diadakan dua hari selepas umat Islam meraikan sambutan Maulidur Rasul,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button