Berita Utama

ISMA ucap tahniah pada Muhammad Qayyim juara qari antarabangsa

Program ketengahkan al-Quran sebagai rujukan utama terus disokong

BANGI, 8 Safar 1445H, Jumaat – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menzahirkan ucapan tahniah kepada qari Malaysia, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi kerana dinobatkan sebagai juara dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) yang ke-63.

Muhammad Qayyim Nizar yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan sejak lahir memperolehi markah sebanyak 94.96 peratus. 

“ISMA mengucapkan ribuan tahniah kepada Muhammad Qayyim Nizar Sarimi atas kejuaraan beliau dalam MTHQA yang ke-63.

“ISMA menyokong program-program sebegini dilakukan kerana mengetengahkan al-Quran sebagai rujukan utama dan teras pembangunan individu dan masyarakat. 

“Ianya sesuai dengan negara Malaysia, sebuah negara Islam,” kata gerakan itu dalam kenyataan, hari ini.

Pada majlis tersebut, Alireza Bizhaniavval dari Iran yang memperoleh 93.30 peratus mendapat tempat kedua, manakala Awang Mohd Zul-Hafiz Awang Tengah dari Brunei Darussalam di tempat ketiga dengan 90.38 peratus.

Muhammad Qayyim berkata, beliau bersyukur kerana usahanya selama 16 tahun mendalami dan mempelajari skil bacaan al-Quran menggunakan naskhah Braille membuahkan hasil pada MTHQA kali ini.

“Pada sesiapa yang ada masalah penglihatan, kita kena juga belajar baca al-Quran kerana dengan al-Quran ni, cerah masa depan kita,” katanya.

Anak kelahiran Kelantan itu sebelum ini menjuarai Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1444H/2023M.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button