Berita Utama

Malaysia kesan dua kes cacar monyet pertama

Pengembara diminta pantau kesihatan diri selepas tiba di Malaysia

BANGI, 8 Safar 1445H, Jumaat – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan dua kes pertama berkaitan jangkitan mpox atau cacar monyet di negara ini, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Beliau berkata, kes pertama disahkan pada 26 Julai lalu, membabitkan seorang lelaki warga asing yang tinggal dan bekerja di Malaysia sejak April 2022.

Katanya, mangsa mempunyai sejarah perjalanan ke negara yang melaporkan kes mpox pada 6 Julai 2023 dan kembali ke Malaysia pada 10 Julai lalu.

“Beliau mula menunjukkan gejala pada 19 Julai 2023 dan lepuh mula muncul pada 23 Julai 2023. Beliau telah menjalani isolasi dan dibebaskan pada 10 Ogos 2023 setelah pulih sepenuhnya tanpa komplikasi.

“Beliau disyaki mendapat jangkitan semasa berada di luar negara iaitu negara yang melaporkan kes mpox,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi kes kedua, Dr Muhammad Radzi berkata, mangsa adalah kontak kepada kes mpox pertama atau kes indeks membabitkan seorang lelaki warga tempatan.

Menurutnya, mangsa mengalami gejala ketika dalam kuarantin kerana menjadi kontak kepada kes positif mpox.

“Beliau telah diarahkan menjalani kuarantin sejak 27 Julai 2023 dan disahkan positif mpox pada 29 Julai 2023. Beliau masih dalam tempoh isolasi dan dalam keadaan sihat.

“Semua kontak bagi kes pertama telah dikenalpasti dan status kesihatan mereka telah dipantau. Tiada yang mengalami gejala jangkitan mpox kecuali kes kedua seperti dinyatakan di atas.

“Kes kedua tidak mempunyai sebarang kontak rapat,” katanya.

Susulan perkembangan itu, beliau mengingatkan semua pengembara yang tiba dari negara-negara melaporkan mpox untuk memantau status kesihatan kendiri setiap hari, termasuk gejala jangkitan bagi tempoh selama 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia.

“Gejala-gejala mpox adalah seperti demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulapapular yang bermula di muka kemudian menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki diikuti bahagian-bahagian tubuh yang lain.

“Pesakit juga mungkin mengalami lenguh tubuh bandan, sakit bahagian belakang atau sendi, kejang otot dan pembengkakan kalenjar limfa,” katanya.

Dr Muhammad Radzi turut meminta pengamal perubatan untuk peka terhadap individu dengan gejala lepuh yang mendapatkan rawatan, terutamanya dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.

Katanya, sejarah risiko kontak rapat dengan individu bergejala jangkitan mpox perlu didapatkan.

“Bagi kes yang disyaki mpox, swab lepuh, swab oral dan sampel darah/serum boleh dihantar ke makmal yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan virus mpox. 

“Pada masa ini, terdapat 10 buah makmal menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan mpox; iaitu lapan makmal kerajaan dan dua makmal swasta.

“Kes disyaki mpox hendaklah dinotifikasi ke pejabat kesihatan berhampiran melalui Sistem e-Notifikasi agar siasatan lanjut serta langkah kawalan dapat dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button