Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Pembantu peribadi didakwa pecah amanah RM1.58 juta

Ambil wang milik syarikat untuk kegunaan sendiri

KUALA LUMPUR, 8 Safar 1445H, Jumaat – Seorang pembantu peribadi kepada pengarah syarikat perunding pertahanan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM1.58 juta, tahun lepas.

Tan I-Lyn, 39, yang juga pengurus pentadbiran syarikat itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Tan didakwa sebagai pekerja di Ada Vinci Global Sdn Bhd yang diamanahkan menguruskan perihal kewangan syarikat telah melakukan pecah amanah dengan mengambil wang milik syarikat berjumlah RM58,354 dan RM1,518,422.88 untuk kegunaan sendiri.

Wanita itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di syarikat berkenaan di Menara YNH Kiara 163, Mont Kiara, antara 3 Disember 2021 dan 10 Disember 2022, mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Shakira Aliana Alias menawarkan jaminan RM120,000 untuk kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah hingga kes selesai.

Peguam Azzuan Shah Abd Razak mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya masih menanggung ibu bapa selain akaun banknya telah dibekukan sejak Disember tahun lalu.

“Anak guam juga menghidap diabetes dan darah tinggi manakala ibu bapanya berusia 75 tahun berada di Pulau Pinang dan tidak sempat ke mahkamah pagi ini atas faktor kesihatan dan usia,” kata peguam itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM70,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan syarat tambahan seperti dicadangkan pendakwaan selain menetapkan 27 September ini untuk sebutan semula kes. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button