Berita Utama

Rayuan SIS Forum cubaan lemahkan kredibiliti Jawatankuasa Fatwa Selangor

Cetus kebimbangan terhadap kuasa kawal umat Islam dari fahaman sesat

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 8 Safar 1445H, Jumaat – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) bimbang terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan membenarkan SIS Forum (Malaysia) meneruskan proses rayuan bagi membatalkan fatwa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, yang mengisytiharkan kumpulan itu ‘sesat’.

Presiden ISMA, Ustaz Suhaib Ar-Rumy Selamat berkata, sepatutnya fatwa terhadap SIS Forum menjadi satu bentuk kawalan terhadap bahaya ajaran songsang daripada kefahaman Islam yang sebenar.

Atas sebab itu, beliau melihat kebenaran mencabar fatwa seolah-olah satu cubaan untuk melemahkan kredibiliti dan kedudukan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

“Ini boleh menimbulkan kebimbangan dalam masyarakat mengenai kuasa untuk mengawal dan melindungi umat Islam daripada fahaman-fahaman yang salah dan menyeleweng.

“Kita mahu semua pihak dalam masyarakat cakna bahaya fahaman liberalisme dan pluralisme daripada merebak di negara ini,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Isnin lalu, SIS Forum memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuan terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Selangor yang mengisytiharkannya sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.

Panel tiga hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan membenarkan permohonan itu secara sebulat suara.

Dalam penghakiman yang disampaikan secara dalam talian itu, Abang Iskandar berkata, permohonan SIS Forum memenuhi syarat di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan oleh itu, dibenar untuk meneruskan rayuannya.

Dalam kes sivil, pihak litigan perlu mendapatkan kebenaran sebelum boleh meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Dalam notis usul memohon kebenaran itu, SIS Forum mengemukakan 10 persoalan undang-undang untuk diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Antaranya sama ada fatwa yang pernah dikeluarkan dalam Warta di bawah Seksyen 48(6), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, adalah satu bentuk undang-undang subsidiari dan/atau perundangan yang diwakilkan.

Pada 14 Mac lalu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1, menolak rayuan SIS Forum dan seorang daripada pengasas bersamanya, Zainah Mahfoozah Anwar untuk membatalkan fatwa itu.

Mahkamah Rayuan memutuskan fatwa yang disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bukanlah keputusan muktamad dan dengan itu tidak boleh dicabar melalui permohonan semakan kehakiman.

Fatwa itu, yang diwartakan kerajaan negeri Selangor pada 31 Julai 2014, mengisytiharkan bahawa SIS Forum, individu dan kumpulan yang mengamalkan fahaman liberalisme serta pluralisme sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Fatwa itu juga mengarahkan mana-mana penerbitan yang mengandungi pandangan liberal dan plural hendaklah diharamkan serta dirampas, selain meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menapis laman sesawang sosial yang bercanggah dengan ajaran Islam serta hukum syarak.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button