Berita Utama

Teruskan ‘bersuara’ Dr Akmal, jangan jadi macam Ketua Pemuda UMNO dahulu

Bertindak segera jika tak mahu UMNO ditalkinkan PRU16 nanti

BANGI, 8 Safar 1445H, Jumaat – UMNO mungkin tidak seteruk sekarang jika Ketua Pemuda dahulu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berani menghalang kerjasama antara parti itu dengan Pakatan Harapan (PH).

Presiden BERJASA, Haji Zamani Ibrahim berkata, kegagalan Asyraf Wajdi bertindak lebih awal menyebabkan UMNO menjadi seperti sekarang, malah menerima tamparan hebat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Atas sebab itu, beliau berharap kepimpinan baharu sayap Pergerakan Pemuda UMNO yang diterajui, Dr Muhamad Akmal Saleh akan lebih berani bersuara dan memperbetulkan kembali parti keramat berkenaan ke landasan sebenar.

“Saya dapati suara sayap Pemuda UMNO di bawah pimpinan Dr Akmal bagus, satu suara yang berwibawa, bertenaga dan nampaknya ada kekesalan mengenai gabungan kerjasama UMNO bersama PH.

“Tetapi kalaulah sekiranya Ketua Pemuda UMNO sebelum ini, Dr Asyraf Wajdi bertindak lebih awal, menghalang kerjasama antara UMNO dan PH, pasti kebimbangan Pemuda UMNO sekarang tak akan berlaku,” katanya.

Menerusi video yang dimuat naik di Facebooknya, Zamani berkata, beliau sentiasa menunggu kesudahan terhadap kelantangan Dr Akmal dalam mengemudi sayap Pemuda UMNO.

“Apakah benar-benar ‘gentleman’, ada kejantanan sehingga mampu menarik handbrake dan membetulkan UMNO di tempat sebenar, atau suara keberanian itu timbul tapi akhirnya hilang apabila diberikan jawatan menteri, timbalan menteri atau di GLC.

“Saya mengharapkan Dr Akmal ini bukan orang sebegitu, tapi kalaulah sekiranya Dr Akmal yang berani ini sama sahaja, sebelum ada jawatan berani, tapi senyap apabila diberikan jawatan, maka malanglah bagi UMNO.

“Maka, inilah bukti awal UMNO akan tenggelam dan terkubur akhirnya. UMNO akan dikafankan dan ditalkinkan pada PRU16 nanti,” katanya.

Muhamad Akmal antara individu berjawatan dalam UMNO yang lantang bersuara membabitkan parti itu, termasuk sebarang tindak-tanduk tidak menyenangkan daripada PH dan DAP sebagai komponen dalam Kerajaan Campuran.

Bahkan, Muhammad Akmal juga menjadi antara pemimpin UMNO yang menyeru pembaharuan dalam parti itu, dengan beberapa pihak secara langsung menggesa Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button