Sembilan terkorban gerabak kereta api terbakar di selatan India
Silinder gas haram diseludup penumpang dipercayai punca kebakaran

NEW DELHI, 9 Safar 1445H, Sabtu – Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh, manakala lebih 50 cedera dalam kebakaran di gerabak kereta api yang tidak bergerak berhampiran stesen kereta api Madurai di Tamil Nadu awal pagi tadi.
Pihak Kereta Api Selatan India dalam satu kenyataan mengesahkan terdapat korban di Madurai Yard di selatan Tamil Nadu Selatan, ekoran daripada ‘silinder gas haram’ yang mencetuskan kebakaran.
Pegawai berkata, kebakaran dilaporkan berlaku dalam koc persendirian pada Sabtu dan anggota bomba telah berada di lokasi kejadian.
“Penumpang dalam koc persendirian telah menyeludup tabung gas secara haram dan ini menyebabkan kebakaran. Ramai penumpang keluar dari koc apabila menyedari kebakaran itu,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Southern Railways.
Jurucakap Daerah Madurai, Sali Thalapathi, berkata, tiga daripada sembilan mangsa yang meninggal dunia adalah wanita.
“Kesemua mayat belum dikenal pasti setakat ini,” katanya.
Rakaman video menunjukkan api besar merebak daripada tingkap gerabak kereta api dan beberapa penumpang berjaya menyelamatkan diri.
Laporan media tempatan menyatakan, penumpang membawa silinder gas secara haram ke dalam gerabak menyebabkan bahan bakar itu meletup ketika cuba menggunakannya. – Agensi