ADUN PN minta Melaka contohi Kelantan, Kedah bab peruntukan
Tiba masa kerajaan negeri praktik politik matang, hormat wakil rakyat dipilih

BANGI, 10 Safar 1445H, Ahad – Kerajaan Melaka perlu mencontohi negeri Kedah dan Kelantan dalam memberikan peruntukan yang sama kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk pembangkang.
Ketua Penerangan Pemuda Perikatan Nasional (PN) Melaka, Dr Mohd Aleef Yusof berkata, kerajaan negeri yang diketuai Datuk Abdul Rauf Yusoh perlu mencontohi usaha di dua negeri berkenaan, supaya dua ADUN pembangkang di Melaka dapat menyumbang dan membantu rakyat di kawasan masing-masing.
Justeru, sudah tiba masanya untuk Melaka mempraktikkan politik matang dan memenuhi hak rakyat di DUN Sungai Udang serta Bemban.
“Saban masa dan setiap hari begitu ramai pihak tampil dan menghubungi saya bagi memohon bantuan dan adalah amat menyedihkan ia tidak dapat dipenuhi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Aleef yang juga ADUN Sungai Udang berkata, Melaka hanya mempunyai dua ADUN iaitu beliau dan Dr Yadzil yang mewakili Bemban.
Beliau berkata, mereka tidak mendapat peruntukan yang sewajarnya, malah jauh lebih rendah daripada ADUN kerajaan.
“Pasca PRN telah menunjukkan bahawa negeri yang dikuasai PN menghormati wakil rakyat yang dipilih dan kerajaan di negeri tersebut telah membuat keputusan untuk memberikan peruntukan yang sama kepada semua termasuk ADUN pembangkang.
“Hal ini jelas telah membuktikan bahawa keadilan dan hak yang mesti diberikan kepada ADUN pembangkang telah dipenuhi oleh kerajaan baharu yang telah dipilih selepas PRN.
“Ini menunjukkan sikap terpuji dan matang kerana memberikan kemudahan buat setiap ADUN termasuk pembangkang di negeri terbabit,” katanya.
Rabu lalu, Kelantan dan Kedah mengumumkan akan berlaku adil dengan memberikan peruntukan sama rata kepada semua ADUN termasuk pembangkang.