Dunia

Tampar murid Islam: Pihak berkuasa tutup sekolah serta merta

Sekolah Awam Neha didapati beroperasi tanpa memenuhi kriteria Jabatan Pendidikan

NEW DELHI, 11 Safar 1445H, Isnin – Pihak berkuasa di negeri Uttar Pradesh mengarahkan sebuah sekolah swasta di bandar itu ditutup serta-merta susulan kes guru perempuan mengarahkan seorang murid menampar rakan sekelasnya yang beragama Islam.

Penutupan Sekolah Awam Neha itu disebabkan tidak memenuhi kriteria Jabatan Pendidikan.

Malah, kesemua murid di sekolah berkenaan akan dipindahkan ke sekolah kerajaan atau sekolah berhampiran di kawasan tersebut.

Sementara itu, guru yang terlibat dalam kes kontroversi tersebut, Tripta Tyagi mempertahankan tindakannya dan mengakui tidak terkesan dengan perbuatan tersebut.

Menerusi temu bual dengan saluran berita NDTV, dia menjelaskan tindakan itu perlu untuk ‘mengawal’ murid di sekolahnya.

Video guru berkenaan yang menunjukkan dia mengarahkan seorang murid menampar rakan sekelasnya beragama Islam dengan lebih kuat menjadi tular di media sosial sejak minggu lalu.

Bapa murid itu kemudian membuat laporan polis dan bertindak memindahkan anaknya daripada sekolah tersebut.

Insiden itu telah mencetuskan kemarahan beberapa pihak dengan beberapa ahli politik pembangkang menggelar tindakan itu sebagai ‘jenayah kebencian.

Uttar Pradesh telah ditadbir oleh nasionalis Hindu Bharatiya Janata Party (BJP) sejak 2017. – Agensi

Pautan berkaitan:

Guru arah murid tampar rakan muslim cetus kemarahan awam

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button