Berita Utama

Mufti gesa dapatkan maklumat jelas sebelum bantah Modul 40 Hadis Imam Nawawi

Tak wajar protes apatah lagi jika ada motif politik murahan

GEORGE TOWN, 11 Safar 1445H, Isnin – Pihak yang menentang cadangan Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Al-Nawawi di sekolah perlu mendapatkan maklumat jelas terlebih dahulu mengenai kandungan hadis dalam koleksi tersebut.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, tujuan kementerian memperkenalkan modul itu adalah untuk memupuk semangat ihsan dan kasih sayang antara manusia tanpa mengira latar belakang, agama dan budaya.

”Pihak yang membantah cadangan perlu memberi perhatian kepada penjelasan kementerian dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan Islam berhubung modul itu.

”Ini kerana modul itu hanya disasarkan kepada guru dan pelajar beragama Islam di sekolah menengah agama (SMKA) dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK),” katanya seperti dilapor media tempatan hari ini.

Terdahulu, KPM dalam satu kenyataan, berkata, program perintis itu akan dilaksanakan di 61 SMKA dan 228 SABK di seluruh negara.

Ia dilancarkan pada 19 Ogos dan diperkenalkan untuk memupuk kefahaman dan penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah.

Walaupun telah dijelaskan bahawa pelaksanaan modul itu hanya untuk guru dan pelajar beragama Islam, ia masih menjadi polemik khususnya di kalangan bukan Islam sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, tujuan memperkenalkan modul itu adalah untuk memupuk pemahaman yang betul mengenai Islam sebagai agama rahmat.

Ia juga menggalakkan sikap toleransi dan saling menghormati antara satu sama lain walaupun berbeza kepercayaan agama dan budaya, katanya.

“Rakyat Malaysia bukan Islam seharusnya memahami bahawa pandangan melampau dan bermusuhan terhadap orang bukan Islam adalah hasil daripada pemahaman yang salah terhadap ajaran Islam itu sendiri.

“Kumpulan, seperti Daesh, yang memperjuangkan penubuhan Negara Islam di Iraq dan membunuh sewenang-wenangnya sesiapa yang tidak bersetuju dengan mereka, timbul kerana pemahaman mereka yang salah tentang ajaran Islam yang sebenar,” katanya.

Justeru, dengan memperkenalkan modul ini, Wan Salim berharap ia dapat memupuk generasi Islam, yang lebih terbuka terhadap kepelbagaian kaum, agama dan budaya, dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau juga berkata, tindakan membantah cadangan kementerian tanpa pemeriksaan lanjut adalah tidak wajar sama sekali.

“Apatah lagi jika protes ini bermotifkan niat untuk meraih kepentingan politik murahan dengan meminggirkan kepentingan negara dan rakyat,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button