Dunia

Selepas tudung, abaya pula diharamkan di sekolah Perancis

Larangan berkait undang-undang pemakaian tonjol simbol agama

PARIS, 11 Safar 1445H, Isnin – Pihak berkuasa Perancis akan mengharamkan pemakaian abaya dalam kalangan pelajar perempuan beragama Islam di sekolah.

Menteri Pendidikan, Gabriel Attal berkata, larangan itu dikuat kuasakan atas alasan pakaian berkenaan melanggar undang-undang sekular Perancis yang ketat dalam pendidikan.

“Ia tidak mungkin lagi (boleh) memakai abaya di sekolah. Kita akan memberikan peraturan yang jelas di peringkat nasional kepada semua pengetua sebelum memulakan kembali sesi persekolahan di seluruh negara mulai 4 September ini,” katanya.

Tindakan itu dibuat selepas berbulan-bulan perdebatan berlaku mengenai pemakaian abaya di sekolah Perancis, di mana sebelum ini pelajar muslim turut dilarang memakai tudung.

Pihak berhaluan kanan telah mendesak larangan itu, yang dihujahkan pula di pihak berhaluan kiri sebagai menceroboh kebebasan awam.

Sebelum ini, terdapat laporan mengenai isu pemakaian abaya di sekolah dan mencetuskan ketegangan di antara guru serta ibu bapa.

Attal berkata, pemakaian abaya adalah isyarat kepada keagamaan dan ia tidak selari dengan sekularisme yang bermaksud kebebasan.

“Anda masuk ke dalam kelas, anda mesti tidak dapat mengenal pasti agama pelajar dengan melihat mereka,” katanya.

Undang-undang pada Mac 2004 melarang pemakaian yang menonjolkan simbol sesuatu agama di sekolah di Perancis, termasuk salib, kippa Yahudi dan tudung bagi orang Islam.

Pada November tahun lepas, kementerian pendidikan telah mengeluarkan pekeliling mengenai isu pemakaian abaya di sekolah.

Ia menyifatkan abaya sebagai salah satu daripada kumpulan pakaian yang boleh diharamkan pemakaiannya jika ia menunjukkan pegangan agama secara terbuka.

Pekeliling itu turut meletakkan pemakaian bandana dan skirt panjang dalam kategori sama.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button