SPRM tetap perlu siasat dakwaan 54,000 warga China diberi kerakyatan
'Ini bukan soal fitnah, pokok takkan goyang kalau tiada angin tiup'

BANGI, 11 Safar 1445H, Isnin – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat segera dakwaan pemberian status kerakyatan kepada 54,000 warga China.
Walaupun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil telah menafikan dakwaan itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris menegaskan, isu berkenaan tetap perlukan siasatan.
Baginya, rakyat Malaysia berhak mengetahui memandangkan isu pemberian kewarganegaraan membabitkan kedaulatan negara yang perlu dipertahankan.
“Bukan soal fitnah atau tohmahan, tetapi rakyat Malaysia berhak mengetahuinya.
“Kita tidak mahu kedaulatan negara kita dicerobohi sewenang-wenangnya, apatah lagi daripada pihak dalaman. Menteri KDN harus bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, Razali menggesa siasatan segera dibuat terhadap Saifuddin, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Mana mungkin pokok bergoyang begitu sahaja kalau tiada angin yang bertiup! Angka 54,000 ini terlalu besar. Rakyat mahu isu ini ditangani secara bijak dan tuntas.
“Kedaulatan negara perlu dipertahankan, keistimewaan rakyat Malaysia perlu dilindungi!,” katanya.
Semalam, Fahmi dalam video dikongsikan di Facebook menafikan dakwaan bahawa Kerajaan Campuran akan memberi status kewarganegaraan kepada 54,000 warga China.
Bahkan, Saifuddin juga turut menafikan dakwaan kementeriannya sedang dalam proses memberikan kerakyat Malaysia secara besar-besaran kepada warga asing terutama dari China.
Saifuddin dilaporkan berkata, dakwaan itu sebagai satu tohmahan dahsyat dilontarkan sehingga memberikan kesan terhadap usaha kementerian menyelesaikan isu permohonan kewarganegaraan ketika itu.
Sebelum ini juga, JPN menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya 54,000 warga China dalam proses diberikan kerakyatan untuk menjadi pengundi DAP.