Putin tidak hadir sidang kemuncak G20 di New Delhi
Modi faham keputusan Russia, ucap terima kasih atas sokongan konsisten

NEW DELHI, 12 Safar 1445H, Selasa – Presiden Russia, Vladimir Putin tidak menghadiri sidang kemuncak G20 yang dihoskan oleh kerajaan India di New Delhi pada September.
Dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi pada Isnin, Putin berkata, beliau akan diwakili oleh Menteri Luar Sergey Lavrov pada mesyuarat yang dijadualkan pada 9 dan 10 September itu.
“PM (Modi) yang memahami keputusan Russia itu, mengucapkan terima kasih kepada Presiden Putin atas sokongan konsisten Russia terhadap semua inisiatif yang dilaksanakan oleh India selaku Presiden G20,” menurut kenyataan pejabat Modi.
“Kedua-dua pemimpin itu menilai kemajuan dalam pelbagai isu kerjasama dua hala dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan global yang menjadi perhatian bersama, termasuk Sidang Kemuncak BRICS (Brazil, Russia, India, China, Afrika Selatan) di Johannesburg baru-baru ini,” katanya.
Presiden Russia itu juga tidak hadir dalam mesyuarat kepimpinan BRICS di Afrika, sebaliknya berucap menerusi pautan video. – Bernama