Artikel Khas

Ada apa dengan TV Pertiwi sehingga disekat?

Wujud persepsi SKMM sasar portal media tertentu untuk diambil tindakan

PADA 15 Ogos 2023, akaun TikTok TV Pertiwi yang mempunyai kira-kira 63,000 pengikut telah disekat. Dua hari kemudiannya (17 Ogos 2023), portal berita TV Pertiwi pula disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (SKMM).

Sebelum itu, terdapat beberapa laman web dan portal berita maya lain yang disekat, antaranya MalaysiaNow (27 Jun 2023), UtusanTV (7 Ogos 2023) dan laman web Samudera.

Entah secara kebetulan atau tidak, sekatan ini berlaku dalam suasana kehangatan pilihan raya kecil yang melibatkan enam negeri di Semenanjung iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Selangor.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam beberapa kenyataan bagaimanapun menjelaskan bahawa beliau tidak memberi apa-apa arahan kepada SKMM supaya menyekat mana-ana portal berita atas talian.

Jadi, persoalan yang segera timbul ialah, mengapakah akses kepada portal TV Pertiwi disekat oleh SKMM?

Untuk memahami konteks dan latarbelakangnya, saya telah merujuk kepada kenyataan media TV Pertiwi bertarikh 25 Ogos 2023 (dilampirkan). Saya juga telah membaca kandungan rencana/berita keenam-enam URL yang dirujuk oleh SKMM yang menjadi isu ataupun punca kepada sekatan terhadap akses portal media TV Pertiwi.

Enam berita yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

1) DAP sambung usaha hapus ketuanan Melayu. (8 Julai 2023)
2) Kit Siang dapat anugerah tanpa jasa, pancing undi Melayu. (5 Jun 2023)
3) DAP mahu sebar agenda liberal dan kristianisasi. (11 Jun 2023)
4) Kerajaan dan penyokong Anwar takut Melayu bangkit? (13 Mei 2023)
5) Jom Ziarah Gereja’: anjuran NGO di bawah KBS, sasar belia Muslim. (14 Mac 2023)
6) Perkahwinan antara orang Islam dan bukan Islam tidak dibenarkan. (11 Jun 2023)

Setelah membaca kesemua artikel di atas, yang tarikh siarannya bermula dari 14 Mac 2023, 13 Mei 2023, 5 Jun 2023, 11 Jun 2023 dan 8 Julai 2023, saya dapati semua artikel berkenaan memuatkan kenyataan-kenyataan dari pihak ketiga, dan bukannya direkacipta dengan andaian atau pernyataan fakta yang diragui kesahihannya, bersifat fitnah, hasutan ataupun sengaja diputarbelit.

TV Pertiwi, di dalam kenyataan media yang dirujuk sebelum ini, menjelaskan bahawa keenam-enam kandungan berita di atas (sebagaimana didakwa oleh SKMM) telah melanggar peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM1998).

Kesalahan di bawah Akta Komunikasi & Multimedia;

233. Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dll.
(1) Seseorang yang—
(a) dengan menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar—
(i) membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan (ii) memulakan penghantaran,
apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain; atau
(b) memulakan suatu komunikasi dengan menggunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi, sama ada secara berterusan, berulang kali atau selainnya, dan dalam masa itu komunikasi mungkin atau tidak mungkin berlaku, dengan atau tanpa mendedahkan identitinya dan dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu mana-mana orang di mana-mana nombor atau alamat elektronik,
melakukan suatu kesalahan.

Dalam ertikata lain, untuk membina satu kes yang kukuh terhadapTV Pertiwi, SKMM perlu membuktikan bahawa keenam-enam artikel yang diterbitkan mesti menepati piawaian atau kriteria perlanggaran terhadap Seksyen 233 AKM1998 seperti berikut:

1. Bersifat…, palsu, mengancam atau jelik; dan
2. Dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain

Kita ingin bertanya kepada SKMM, bagaimana keenam-enam berita TV Pertiwi di atas yang bersifat palsu? Siapa dan pihak manakah yang diancam dengan penerbitan berita-berita tersebut, dan bagaimanakah bentuk ancamannya?

Apakah unsur-unsur ‘jelik’ yang terdapat pada berita-berita tersebut? Adakah definisi ‘jelik’ diperuntukkan di dalam AKM1998, dan sekiranya tidak ada, siapakah pihak yang paling berotoriti untuk memberikan definisi ‘jelik’ tersebut?

Sudahkah kedua-dua elemen atau kriteria di atas telah dibuktikan oleh pihak SKMM? Inilah yang rakyat ingin tahu.

Adalah menarik untuk mengetahui bagaimana pihak SKMM telah membuat ‘dapatan-dapatan’ mereka tentang artikel-artikel terbitan TV Pertiwi.

Kenyataan Media TV Pertiwi bertarikh 25 Ogos antara lain secara tersirat turut menyentuh satu poin yang saya rasa sangat penting untuk difahami, yakni pihak SKMM ‘MENDAPATI’ bahawa keenam-enam berita yang diterbitkan itu telah “cuba membangkitkan sentimen kebencian terhadap institusi raja, perkauman dan agama yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian dalam negara, yang boleh dikaitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM1998)”.

Apabila istilah ‘mendapati’ ataupun ‘didapati’ digunakan di dalam suatu ayat, dari segi nahu dan laras bahasanya, ia bermaksud bahawa sesuatu yang sudah berlaku (past tense), yakni siasatan sudah dijalankan dan hasil siasatan merumuskan bahawa enam artikel TV Pertiwi didapati telah ‘bersifat palsu …’

Dalam bahasa mudahnya, siasatan telah lengkap dan rumusan/kesimpulan juga telah dibuat terhadapTV Pertiwi.

Pemahaman secara biasa juga akan menyimpulkan bahawa selain ‘melanggar’ Seksyen 233 AKM1998, artikel-artikel yang dimaksudkan juga didapati telah ‘cuba membangkitkan sentimen kebencian terhadap institusi raja, perkauman dan agama yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian dalam negara, yang boleh dikaitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM1998)’.

Pembacaan dan pemahaman saya yang asas terhadap Seksyen 233 AKM1998 tidak menemukan Seksyen yang merujuk kepada isu sentimen kebencian terhadap institusi raja, perkauman dan agama yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian dalam negara.

Akta Parlimen yang secara khusus merujuk kepada isu institusi raja, perkauman dan agama (yang kini lebih dikenali sebagai 3R) terdapat d dalam Akta Hasutan 1948.

Setakat hari ini, TV Pertiwi tidak dituduh di bawah Akta Hasutan.

Saya mendapati satu kecelaruan dan percanggahan ketara antara kenyataan-kenyataan media pihak SKMM;

1) Bagaimanakah kes TV Pertiwi masih lagi sedang disiasat (dan akses masih disekat) sedangkan pihak SKMM sendiri secara tidak langsung telah memaklumkan bahawa enam artikel TV Pertiwi telah “didapati” melanggar atau cuba melanggar peruntukan Seksyen 233 AKM1998?

2) Kenapa SKMM tidak bertindak menyekat akses kepada TV Pertiwi sejak 14 Mac 2023 (Tajuk – Jom Ziarah Gereja’: anjuran NGO di bawah KBS, sasar belia Muslim), iaitu ketika artikel pertama ini diterbitkan? Kenapa perlu tunggu sehingga 15 Ogos 2023 (iaitu tempoh selama 5 bulan) baru hendak menyekat akses kepada TV Pertiwi?

3) Berapa lamakah tempoh siasatan pihak SKMM – sejak 14 Mac 2023 atau semuanya dikumpulkan sehingga 15 Ogos 2023 baru siasatan mula dijalankan?
Sekiranya keenam-enam artikel terbitan TV Pertiwi ‘didapati’ telah melanggar Seksyen 233 AKM1998, mengapakah pihak SKMM menegaskan bahawa siasatan masih/sedang djalankan lagi?

4) Adakah terdapat ‘dateline’ untuk “menyiapkan” siasatan ataupun pihak SKMM sudah bersedia untuk mengheret TV Pertiwi ke mahkamah di atas keengganan mereka menurunkan keenam-enam artikel yang dimaksudkan itu?

5) Di atas keengganan TV Pertiwi menurunkan artikel-artikel tersebut, bukankah ini merupakan satu kesalahan dan perlanggaran yang masih berterusan di bawah Seksen 233 oleh TV Pertiwi? Kenapakah mereka masih tidak didakwa lagi hingga ke hari ini?

6) Sekiranya artikel-artikel tersebut atau salah satu daripadanya telah menimbulkan sentimen-sentimen yang melanggar undang-undang sepertimana yang didakwa oleh pihak SKMM, mengapakah sehingga hari ini tiada mana-mana pihakpun yang tersakiti, terancam, difitnah dan disasarkan oleh TV Pertiwi telah membuat aduan, laporan polis dan sebagainya dari 14 Mac 2023 hingga 15 Ogos 2023?

Situasi ini sangat mengkhuatirkan. Seolah-olah TV Pertiwi telah dijatuhkan hukuman terlebih dahulu ketika ‘siasatan masih/sedang dilakukan’ dalam keadaan di mana enam artikel terbitannya ‘didapati’ telah melanggar Seksyen 233 AKM1998 tanpa dihadapkan ke muka pengadilan.

Keadaan ini samalah seperti dilema digantung tidak bertali yang dihadapi oleh seorang isteri yang dizalimi.

Sekiranya TV Pertiwi telah melakukan perlanggaran terhadap undang-undang negara, maka dakwalah portal media tersebut di bawah mana-mana peruntukan undang-undang, sama ada Akta Hasutan, AKM1998 ataupun yang lainnya. Adakah siasatan ini akan mengambil masa sehingga PRU16?

Dilihat secara keseluruhan terhadap apa yang dialami oleh beberapa portal media dalam talian/maya (termasuk TV Pertiwi), sukar ditolak tanggapan bahawa tiada lagi kebebasan akhbar atau mengeluarkan pendapat/pandangan yang dianggap sebagai tidak sehaluan dengan pendirian pemerintah atau yang menegur kepincangan kepimpinan negara atau mengkritik parti-parti politik atau pemimpin-pemimpinnya.

Terdapat juga satu persepsi umum (bukan tuduhan) yang sukar dihapuskan bahawa SKMM hanya mensasarkan portal-portal media tertentu sahaja untuk diambil tindakan.

Bukan satu rahsia lagi sebahagian portal media berhaluan kiri yang dahulunya sangat lantang mengkritik pihak pemerintah telah bertukar menjadi seakan-akan ‘lidah rasmi’ pihak kerajaan yang kini dianggotai oleh pemimpin-pemimpin parti-parti politik pembangkang (satu masa dahulu).

Portal-portal media yang sangat galak dan ghairah mempermainkan sentimen menghasut dari segi isu-isu raja, Melayu, perkauman dan agama Islam dibiarkan tanpa tindakan, meskipun masyarakat umat dan bangsa berkali-kali bangkit bersuara dan laporan-laporan polis telah difailkan.

Tidak pula kedengaran bahawa portal-portal tersebut telah disekat aksesnya, meskipun artikel-artikel mereka sangat keras bersifat menghasut, mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama dan malah mempertikaikan tunjang asas Perlembagaan.

Komitmen untuk mempertahankan kebebasan berpendapat, memberi pandangan berbeza, menegur kerajaan dan hak untuk bersuara sudah dikuburkan, apabila dirasakan kedudukan dan kuasa politik sudah terancam melalui penyebaran maklumat dan informasi yang sangat cepat dan meluas.

Tidak sukar untuk merasakan bahawa iklim kebebasan bersuara dan berpendapat serta menikmati akses tanpa had kepada penyaluran maklumat dan informasi oleh rakyat ini sudah tersumbat, di mana masyarakat dihalang daripada mendapat ilmu dan informasi yang lebih seimbang.

Bila keadaan ini berlaku, apa yang dihidangkan kepada minda rakyat dan masyarakat hanyalah info dan maklumat yang telah ditapis dan disaring serta sangat toksik sifatnya.

Kebimbangan ini jugalah yang telah disuarakan oleh sekumpulan wartawan veteran dan disegani dalam masyarakat, namun diremehkan begitu sahaja oleh pihak SKMM.

Sekiranya pihak kerajaan ingin menambat hati rakyat supaya memberi sokongan dan dokongan kepada agenda negara yang ditawarkan, maka segala sekatan dan akses kepada maklumat yang berbagai-bagai ini harus segera ditamatkan.

Biar rakyat membuat keputusan berdasarkan info dan maklumat yang objektif, tidak bias atau berat sebelah, yang tidak memihak kepada mana-mana kumpulan atau ideologi tertentu dan yang lebih mengutamakan agenda masa depan negara.

Segala retorik kebebasan media dan internet tanpa sekatan hanyalah satu ilusi, hipokrisi dan kepalsuan sahaja apabila tindakan yang bertentangan arah digunapakai.

Identiti sesebuah demokrasi diukur melalui kematangan rakyat dan kekuatan hujah pihak pemerintah terhadap sebarang bentuk ancaman yang menggugatnya, bukan melalui pemaksaan undang-undang sewenang-wenangnya dan pendakwaan terpilih atau diskriminasi jelek terhadap pihak media (atau penentang).

Sistem demokrasi atau kedudukan kuasa pihak pemerintah tidak akan tergugat dengan rakyat yang semakin sedar dan matang dalam membuat keputusan, malah sebaliknya akan memperkuatkan lagi sendi-sendi pemerintahan.

Hubungan antara rakyat dengan pemerintah hendaklah bersifat dua hala, bebas, mesra dan saling mempercayai. Apabila pertalian ini sudah disingkirkan dan kebebasan sudah dirantai, maka tidak ada apa yang akan menyekat sesebuah negara dari meluncur ke arah pemerintahan secara diktator. Inilah yang pernah ditegaskan sendiri oleh Perdana Menteri sekarang satu ketika dahulu.

Sekiranya pihak SKMM jujur dalam melaksanakan tanggungjawab dan fungsinya, sekatan akses kepada portal TV Pertiwi perlu ditarik balik.

Barulah Hari Kemerdekaan Negara Ke-66 benar-benar dihayati.

Mohd Luttfi Abdul Khalid
Penasihat Persatuan Ikatan Sivil Dan Syar’iah Malaysia (iPeguam)

Artikel ini telah disiarkan lebih awal di Facebook penulis Mohd Luttfi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button