Israel bunuh 172 rakyat Palestin sejak awal 2023: Laporan
Jumlah mangsa cedera meningkat dua kali ganda berbanding 2022

RAMALLAH, 13 Safar 1445H, Rabu – Pasukan pengganas Israel telah membunuh 172 rakyat Palestin sejak awal 2023, berbanding 155 orang sepanjang tahun lalu, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA).
Menerusi laporan dwi-mingguan yang dikeluarkan semalam, OCHA berkata, tahun 2022 menyaksikan kematian tertinggi direkod di Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur sejak 2005.
Laporan itu mendedahkan, dalam tempoh dua minggu pada 8 hingga 21 Ogos, seramai 559 rakyat Palestin termasuk 148 kanak-kanak cedera akibat serangan tentera Israel di Tebing Barat.
Katanya, jumlah itu turut meliputi 21 mangsa yang cedera akibat peluru hidup.
“Sejak awal tahun, seramai 705 rakyat Palestin telah cedera dengan peluru hidup oleh tentera Israel di Tebing Barat, jumlah itu hampir dua kali ganda untuk tempoh sama pada 2022, iaitu 411,” kata OCHA.
Menurut laporan itu, 16 rumah dan satu struktur pertanian telah dirobohkan atas alasan tindakan punitif sejak awal 2023, berbanding 14 bangunan tahun lalu dan tiga pada 2021.
“Perobohan punituf adalah satu bentuk hukuman kolektif dan ia adalah haram di bawah undang-undang antarabangsa.
“Pasukan Israel menyekat pergerakan rakyat Palestin di pelbagai lokasi di seluruh Tebing Barat, menganggu akses beribu-ribu rakyat Palestin kepada mata pencarian dan perkhidmatan,” katanya.
Laporan itu juga mendedahkan bahawa pihak berkuasa pendudukan Israel telah melakukan 41 perobohan atau rampasan terhadap 22 sekolah di Kawasan C Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sejak 2010, atas alasan kononnya tiada permit.- Agensi